Agamawan perlu terap prinsip rahmah dalam perbahasan agama - Mufti Singapura
Bernama
Oktober 11, 2023 07:30 MYT
Oktober 11, 2023 07:30 MYT
IPOH: Golongan agamawan diingatkan supaya sentiasa meletakkan prinsip rahmah, keihsanan dan kesejahteraan sebagai asas utama dalam pengajian dan perbahasan ilmu agama yang meliputi aspek akidah, fiqh dan sebagainya.
Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata jika prinsip berkenaan diberikan keutamaan maka perbezaan pandangan dan khilaf daripada sudut pendapat itu dapat dibincangkan secara ilmiah.
"Seperti yang dimaklumi, cara penyampaian ilmu, di samping ilmu itu sendiri berpengaruh besar dalam membentuk pemahaman dan mencorak kehidupan agama masyarakat.
"Oleh yang demikian, kematangan menangani kepelbagaian dan perbezaan pandangan adalah sesuatu yang perlu diperbaiki oleh semua golongan agamawan," katanya ketika pembentangan kertas kerja utama pada Muzakarah Sultan Nazrin Shah yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat dan melancarkan buku 'Mengenal Kesesatan Syiah' dan buku 'Jaringan Islam Liberal dan Agenda Pemurtadan Ummah' pada program tersebut.
Program bertemakan 'Memperkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah Sebagai Al Firqah Al Najiah' itu disertai lebih 400 peserta terdiri daripada tokoh ilmuan tempatan dan luar negara, penjawat awam, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi.
Dalam pada itu, Nazirudin berkata Pejabat Mufti Singapura telah memperkenalkan 'Fatwa Lab Project' atau Makmal Fatwa bagi memudahkan agamawan muda mencari huraian serta pendekatan membabitkan isu masa depan.
"Kami akan terus berusaha membangunkan ketamadunan ilmu agama yang sesuai dengan peralihan zaman, khusus dalam memupuk semangat mempelajari dan mengkaji dalam kalangan golongan agamawan muda.
"Jika kepimpinan agama tidak memikirkan dan membahaskan isu baharu dan mendatang, apatah lagi dengan kecanggihan kecerdasan buatan yang pada satu masa akan mengatasi kemampuan kita, maka kita mungkin tidak lagi relevan bagi masyarakat," katanya.
-- BERNAMA