Agama dan bangsa bukan alat sebar konflik, perpecahan - Shafie

Bernama
Mac 24, 2019 13:54 MYT
Shafie berkata dua perkara itu juga tidak boleh dijadikan modal menyebar konflik yang membawa kepada perpecahan. - Foto Bernama
Perbezaan agama dan bangsa seharusnya dijadikan kelebihan dalam memupuk semangat nasionalisme dan perpaduan dikalangan rakyat, tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Shafie berkata dua perkara itu juga tidak boleh dijadikan modal menyebar konflik yang membawa kepada perpecahan.
Tambahnya, Sabah merupakan negeri contoh terbaik di mana perbezaan agama dan bangsa menjadi kekuatkan dalam menyatukan hati.
"(Di Sabah) kita berjaya menjaga keharmonian, tidak ada kacau bilau, perpecahan, perbalahan, malahan kita (rakyat) saling hormat antara satu sama lain, perkara ini perlu dikekalkan dan disebarkan bukan hanya dalam kalangan rakyat negara ini tetapi masyarakat dunia.
Shafie pada masa sama turut mengutuk tragedi serangan penganas di Christchurch New Zealand yang sengaja dicetuskan untuk mengugat keamanan.
"Apa yang berlaku di New Zealand (insiden tembakan di masjid) harus ditentang sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa kerana perkara seumpama itu menghancurkan keamanan serta kesejahteraan masyarakat dunia," katanya pada Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2019, di sini.
FKAT yang memasuki edisi kelapan itu dirasmikan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di perkarangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan dihadiri hampir 50,000 orang
Shafie berkata festival itu bukan sahaja menjadi platform penyatuan kekayaan budaya di negeri ini malah penyumbang kepada ekonomi pelancongan Sabah.
Dalam perkembangan berasingan, Shafie berjanji akan menjadikan Tawau Terminal Makanan Negeri yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan jualan borong hasil pertanian.
Katanya kewujudan terminal itu mampu merancakkan industri makanan dan pertanian dengan hasil buah-buahan serta sayuran tempatan diperluaskan untuk pasaran dalam dan luar negara.
"Saya sudah kenal pasti di kawasan Yayasan Sabah, kita akan tanam buah dan sayur untuk dibekalkan kepada pasaran domestik dan luar negara," katanya.
#Ketua Menteri Sabah #Mohd Shafie Apdal #New Zealand #perpaduan #Rakyat Sabah bersatu #Sabah #Shafie Apdal #Tragedi Christchurch #Tragedi Solat Jumaat
;