Afrika Selatan pernah dihalang sertai Olimpik kerana aparteid, kenapa tidak Israel? - Syed Saddiq

Israr Khalid
Januari 29, 2019 17:55 MYT
SYED SADDIQ: Bumi Palestin memang sangat dekat dengan hati kita, dan itu pendirian kita. - Gambar fail
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap bertegas bahawa pendirian Malaysia menghalang kemasukan atlet Israel adalah bukan soal mencampuradukkan isu politik dengan sukan, tetapi atas dasar kemanusiaan.
Katanya, hal ini juga bukan melibatkan umat Islam semata-mata, tetapi semua bangsa tidak kira agama mahupun bangsa.
Ia sebagai mengulas tindakan seorang jurulatih renang dari Poland yang menolak tawaran kerja melatih pasukan kebangsaan kerana keputusan dan pendirian kerajaan yang mengelak sebarang perkaitan dengan Israel.
“Kami menghormati pendiriannya, pada masa sama tetap dengan pendirian kerajaan.
“Ini bukan pendirian baharu dan kita pertahankan, bumi Palestin memang sangat dekat di hati kita,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Channel NewsAsia melaporkan, bekas perenang Olimpik, Bart Kizierowski menolak tawaran lumayan jawatan jurulatih renang kebangsaan Malaysia dengan menyatakan bahawa ‘tiada tempat untuk perkara seperti itu dalam sukan.’
Mengulas kenyataan itu, Syed Saddiq membidas hujah dengan mengatakan Afrika Selatan pernah dihalang menyertai temasya Sukan Olimpik 1964 Tokyo kerana keengganan kerajaan mereka menamatkan dasar aparteid.
“Saya rasa dalam bab ini, Israel yang mengamalkan genosid atau jenayah perang adalah jauh lebih teruk jika nak dibandingkan dengan tujuh negara lain yang pernah dihukum oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC),” katanya.
Beliau turut mendakwa sebelum ini Israel pernah menghalang atlet Palestin untuk keluar dan mewakili negara mereka kerana rejim Zionis telah mengawal sempadan mereka.
Malah dakwanya lagi, mana-mana atlet luar yang ingin ke Palestin untuk berlatih dengan atlet mereka perlu mendapatkan kebenaran rejim tersebut.
“Sampai nyawa atlet itu sendiri diancam kerana kekejaman tertera Israel. Itu jauh lebih teruk,” ujarnya.
Selepas Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019, Syed Saddiq pada Ahad mengingatkan IPC bahawa Amnesty National dan Human Rights Watch sendiri telah mendakwa bahawa rejim Netanyahu terlibat dalam jenayah perang.
Kejohanan Renang Para Dunia 2019 sepatutnya dianjurkan di Kuching, Sarawak 29 Julai hingga 4 Ogos ini.
Penegasan kerajaan Malaysia menyebabkan Israel tidak senang dengan keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menggelar Perdana Menteri sebagai 'anti-Semitisme melampau'.
#Afrika Selatan #apartheid #IPC #Israel #Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa #jurulatih #Kejohanan Renang Para Dunia 2019 #Olimpik #poland #renang #Syed Saddiq #Zionis
;