'Affordable Meal' sokong perkembangan menyeluruh usahawan - Haniza

Astro Awani
September 27, 2019 22:00 MYT
Haniza (empat dari kanan) bersama wakil In4Tec dan Hijrah Selangor selepas majlis MoU dan perlaksanaan Projek Perintis Inisiatif Meningkatkan Kehidupan Bandar B40. - Gambar fail
Inisiatif ’Affordable Meal’ akan menyokong usahawan secara menyeluruh melalui program suntikan modal, kelengkapan niaga, teknologi, keperluan cawangan, latihan dan sokongan kepada ahli berkenaan.
Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha berkata, inisiatif itu secara langsung membolehkan usahawan memasuki pasaran dan terus berdaya saing.
“Melalui bantuan teknologi IR4.0, golongan B40 di kawasan bandar mampu memiliki perniagaan
sendiri dan secara langsung meningkatkan ekonomi keluarga. Program ini bermula di Selangor sebelum diperluaskan ke seluruh Malaysia pada masa akan datang.
“Ia akan menggalakkan pengusaha makanan halal menjualnya pada harga lebih kompetitif yang mampu dibeli pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, satu memorandum persefahaman (MoU) antara Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, In4Tec dan Hijrah Selangor dan perlaksanaan Projek Perintis Inisiatif Meningkatkan Kehidupan Bandar B40 termeterai dan dirasmikan.
MoU ‘Affordable Meal’ itu juga ditandatangani antara Haniza dan Pengerusi Eksekutif Hijrah Selangor, Datuk Mansor Othman dan wakil In4Tec, Loke Lee Sah.
Sementara itu, dalam ucapannya Haniza menjelaskan, Jawatankuasa Tetap yang diketuainya kini sedang dalam kerangka menyediakan Manual Model Jaringan Laman Hijau Strata 2.0 Negeri Selangor.
"Dalam inisiatif ini, para peserta yang terlibat adalah daripada penduduk yang menghuni di kawasan perumahan berstrata. Secara asasnya, program ini adalah untuk bertujuan untuk membantu menjana pendapatan melalui jualan hasil tanaman secara komersial.
"Untuk itu, perancangan pelaksanaan inisiatif ini melibatkan pelbagai agensi Kerajaan dengan kepakaran masing-masing, iaitu Jabatan Pertanian daripada segi khidmat nasihat dan latihan pertanian, FAMA daripada segi khidmat nasihat jenis tanaman yang berpotensi untuk dikomersialkan dengan nilai jualan yang tinggi, serta dalam aspek pemasaran, Pihak Berkuasa Tempatan daripada segi bantuan teknikal lain di lokaliti masing-masing, Pesuruhjaya Bangunan (COB) daripada segi pengurusan penduduk atau JMB, dan LPHS sebagai sekretariat utama.
"Inisiatif ini dalam fasa 'fine tune' beberapa perkara yang perlu diberikan perincian sebelum pelaksanaannya akan dimulakan nanti," jelasnya.
In4Tec Enabled adalah jaminan mutu kepada pengguna bahawa pembelian makanan mematuhi 'Halalan Toyyiban' di mana asal-usul dan sumber-sumber dari keseluruhan rantai ladang ke meja dapat dikesan.
Sementara In4Tec Produce adalah ikrar kepada pengguna bahawa makanan yang dibeli dan dimakan
dihasilkan sejajar dengan teknologi pengilangan IR4.0.
Haniza sebelum ini dilaporkan berkata, program itu adalah sistem pertama yang memberikan terminal kepada individu dengan mengabungkan teknologi IR4.0 kepada produk makanan seharian rakyat.
Jelasnya, dengan mengeluarkan makanan secara IR4.0, harga makanan yang dijual dapat dikurangkan.
#COB #ekonomi #Exco #Halal #Halalan Toyyiban #In4Tec Enabled #In4Tec Produce #keluarga #kerajaan #MoU #rakyat #usahawan
;