AFF Suzuki: Polis buru 15 individu dalam siasatan gaduh bola

Astro Awani
Disember 9, 2014 20:15 MYT
...
Sejumlah 15 individu diburu bagi membantu siasatan berhubung insiden keganasan semasa perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah memaklumkan kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Beliau meminta individu-individu dalam foto yang dipamerkan supaya tampil menyerah diri untuk membantu siasatan, selain orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden berkenaan.
"Kita tidak boleh kata mereka ini suspek kerana masih dalam siasatan. Kita masih dalam proses kenal pasti mereka untuk bantu polis siapkan kertas siasatan," kata Mohd Adnan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan polis sudah menahan sembilan individu atas pelbagai kesalahan.
"Sembilan tangkapan telah dibuat, tiga ditahan dibawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya, seorang untuk tujuan siasatan dan lima atas kesalahan kecil kerana memiliki pembakar suar," ujarnya.
Mohd Adnan (kanan) bersama pegawainya menunjukkan gambar individu yang dicari polis berkaitan kes pergaduhan di Piala AFF Suzuki pada Ahad lepas, semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Selasa.
Dalam kejadian 7 Disember lepas, pada aksi separuh akhir pertama malam tersebut, segelintir penyokong fanatik Harimau Malaya dilaporkan bertindak keterlaluan sehingga berlaku ketegangan diantara mereka dengan penyokong Vietnam sebaik tamat perlawanan tersebut.
Kejadian itu juga turut dikesali oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kecewa dengan sikap tidak bertamadun kumpulan penyokong ultra IJF (Inter Johor Firms) itu yang bertindak melampaui batas dengan menyerang para penyokong Vietnam ketika berlangsungnya perlawanan separuh akhir pertama.
Turut kecewa dalam kejadian tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan beliau memohon maaf bagi pihak Kerajaan Malaysia terhadap Vietnam di atas kejadian terbabit.
#AFF Suzuki 2014 #gaduh #Malaysia #penyokong #stadium shah alam #Vietnam
;