AES dijangka dimulakan semula September depan

Rahimah Abdullah
Ogos 14, 2015 22:38 MYT
Gambar fail kamera AES di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban. Perbincangan sedang dijalankan antara beberapa agensi kerajaan untuk mulakan semula sistem tersebut pada September depan. - fotoBERNAMA
Penyalahgunaan lorong kecemasan terutama pada musim perayaan akan dapat diatasi selepas Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dijangka dimulakan semula September depan.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff bagaimanapun berkata, pemasangan AES masih di peringkat perbincangan dengan agensi terlibat.
Jelasnya, AES akan diperbanyakkan di lokasi tertentu terutama di 14 hotspot yang dikenal pasti sebelum ini.
"Mengenai pemasangan kamera (pada lorong kecemasan) AES akan bermula tak silap saya pada bulan September... ada 14 lokasi akan diperbanyakkan.
"Ia masih dalam perbincangan. Kami masih membincangkan perkara ini kerana ia bukan rasmi," katanya pada sidang media analisis Op Selamat 7 di Bukit Aman di ibu negara.
Mohd Fuad berkata Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) bertanggungjawab melaksanakan AES secara langsung dan pada masa sama, PDRM akan menggunakan AES untuk mengesan jenayah serta tugas-tugas trafik.
AES mampu kesan pengguna salah guna lorong kecemasan
Beliau juga mengulas cadangan daripada banyak pihak agar pihak berkuasa memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lorong kecemasan bagi mengesan pesalah jalan raya yang menyalahguna laluan berkenaan.
Pada 2012, Jabatan Peguam Negara menangguhkan semua prosiding berhubung kes AES di mahkamah.
Penangguhan itu bagi membolehkan jabatan mengkaji semula undang-undang berkaitan berikutan percanggahan pendapat sesetengah pihak termasuk beberapa isu yang dibangkitkan berkaitan aspek perundangan dan teknikal.
#AES #hotspot #JPJ #Mohd Fuad Abd Latiff #PDRM #Sistem Penguatkuasaan Automatik
;