Aerotrain rosak: Liow arah MAHB segera beri laporan

Bernama
Mei 27, 2016 22:47 MYT
LIOW: "Kami memohon maaf kepada para penumpang atas segala kesulitan yang dialami." - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong mengarahkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) supaya memberi laporan segera berhubung perkhidmatan aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tergendala pagi ini.
Sambil menyatakan rasa sedih dan kesal, Liow berkata insiden kerosakan aerotrain dalam perkhidmatan yang menghubungkan terminal utama KLIA dengan bangunan satelit itu tidak seharusnya berlaku.
"Kami memohon maaf kepada para penumpang atas segala kesulitan yang dialami.
"Mereka (MAHB) perlu meneliti perkhidmatan aerotrain. Jika tren itu sudah lama oleh kerana digunakan lebih 20 tahun, jika perlu, mereka harus menukarnya. Jika perlu dibaiki, lakukanlah penyenggaraan... itu tanggungjawab MAHB untuk menyediakan khidmat yang terbaik kepada penumpang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
BACA: MAHB sedia 30 buah bas dan van jika aerotrain di KLIA masih tidak dapat beroperasi
Warga siber meluahkan kemarahan mereka dalam media sosial berikutan kerosakan dua aerotrain KLIA kira-kira pukul 8 pagi ini.
Terdahulu, MAHB menerusi posting dalam Facebook rasmi, berkata kerosakan aerotrain yang menghubungkan terminal utama dengan bangunan satelit sedang diperbaiki.
MAHB kemudiannya berkata operasi satu daripada perkhidmatan aerotrain itu bersambung semula pada 10.38 pagi ini.
Sementara itu, Liow menegaskan lebih banyak bas perlu disediakan untuk menyuraikan penumpang yang memenuhi terminal dan membawa mereka balik ke terminal utama.
"Pada mulanya, mereka hanya menghantar lima bas yang memang tidak cukup. Jadi, kami minta mereka tambah lagi sebanyak yang boleh, bagi keselesaan penumpang," katanya.
Liow berkata kerosakan aerotrain ini merupakan insiden kedua berlaku selepas kejadian sama dialami pada Disember lepas.
#aerotrain #Datuk Badlisham Ghazali. #KLIA #Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur #MAHB
;