Aerotrain KLIA disasar kembali beroperasi sepenuhnya suku kedua tahun ini

Shaznina Rozman
Januari 24, 2025 16:15 MYT
Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka beroperasi semula pada suku kedua (Q2) tahun ini.- Foto Bernama
SEPANG: Perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disasar untuk kembali beroperasi sepenuhnya pada suku kedua tahun ini, setelah hampir dua tahun digantung.
Menurut Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, pihaknya menjangkakan semua ujian aerotrain dapat diselesaikan pada bulan April dan yakin operasi itu dapat dimulakan mengikut jadual baharu tanpa sebarang kelewatan tambahan.
"Keselamatan penumpang adalah keutamaan utama kami. Kami sedang melaksanakan ujian dan penilaian wajib untuk memastikan setiap komponen sistem berfungsi dengan lancar serta mematuhi semua keperluan keselamatan," kata beliau pada taklimat media mengenai perkembangan terkini aerotrain KLIA di sini, hari ini.
Projek bernilai RM456 juta ini telah menghadapi beberapa kelewatan, dengan tarikh sasaran operasi sebelumnya adalah pada 31 Januari tahun ini.
Beliau juga menjelaskan bahawa kepatuhan kepada keperluan teknikal kadangkala boleh menyebabkan kelewatan dalam proses tertentu.
Mohd Izani memaklumkan bahawa kapasiti aerotrain baharu telah ditingkatkan kepada 270 penumpang setiap perjalanan, berbanding 230 penumpang pada tren terdahulu.
“Setiap tren terdiri daripada tiga gerabak dengan kapasiti 90 penumpang bagi setiap gerabak.
“Walaupun berlaku kelewatan operasi, kos projek ini tidak mengalami sebarang peningkatan”, kata Izani.
Aerotrain di KLIA telah digantung operasinya sejak Mac 2023, selepas satu gangguan besar menyebabkan penumpang terpaksa berjalan di sepanjang landasan kereta api dalam hujan separuh perjalanan dari terminal lapangan terbang apabila ia mengalami kerosakan.
Pada Ogos 2023, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memutuskan untuk menamatkan kontrak dengan Pestech International Bhd bagi projek tersebut, dengan alasan prestasi tidak memuaskan, melanggar pencapaian projek yang penting, dan berisiko menyebabkan kelewatan dalam penyampaian projek mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.
Namun, pada Januari 2024, MAHB mencapai persetujuan dengan konsortium yang melibatkan anak syarikat Alstom, Pestech, dan IJM Corporation Bhd untuk menyambung semula projek tersebut, dengan sasaran siap pada 31 Mac 2025.
Beliau menjelaskan bahawa projek ini sangat signifikan bagi MAHB dan juga negara, selaras dengan usaha untuk meningkatkan pengalaman penumpang serta memperkukuh imej KLIA sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
#aerotrain #MAHB #Malaysia Airports Holdings Berhad #KLIA
;