Aerotrain KLIA bakal beroperasi semula 31 Januari depan

Umavathi Ramayah
September 2, 2024 12:00 MYT
Anthony Loke (dua, kiri) ketika meninjau perkembangan projek Aerotrain di KLIA, di sini pada Isnin. - Gambar/ MAHB
SEPANG: Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka beroperasi semula pada 31 Januari depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dua daripada tiga set Aerotrain sudah tiba di KLIA pada minggu lalu dan sedang melalui fasa pemasangan.
"Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dijangka memulakan ujian terakhir pada pertengahan Januari (2025). Sekiranya semua ujian ini dapat dijalankan dengan baik dan lulus, maka Aerotrain dijangka beroperasi pada 31 Januari 2025," katanya selepas meninjau dan memeriksa Aerotrain baharu di KLIA di sini, pada Isnin.
Anthony Loke memberitahu, pemeriksaan dinamik bermula pada Oktober ini, dengan Aerotrain terbabit akan diuji menggunakan trek sebenar serta melakukan perkhidmatan berulang-alik.
"Jadi saya ingin menjelaskan kepada penumpang dan orang ramai supaya sekiranya melihat Aerotrain beroperasi, ia adalah ujian untuk memastikan kesemuanya berjalan lancar,” katanya.
Pada masa sama, Anthony mengingatkan kontraktor-kontraktor yang terlibat dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk melaksanakan pemantauan rapi dan memastikan semua proses serta ujian dijalankan dengan baik supaya tiada lagi kelewatan.
Beliau menjelaskan, walaupun Aerotrain akan mula beroperasi, bas sedia ada akan dikekalkan bagi menampung peningkatan jumlah penumpang.
MAHB sebelum ini memaklumkan projek bernilai lebih RM700 juta dengan rekaan mesra pengguna itu akan beroperasi 24 jam setiap hari selain dilengkapi pakej penyelenggaraan operasi selama 10 tahun sehingga 2034.
Pada 2 Mac 2023, perkhidmatan Aerotrain dihentikan sementara dan digantikan dengan bas atas faktor keselamatan.
Keputusan tersebut diambil susulan insiden membabitkan aerotrain terkandas kira-kira 3 petang di KLIA sehari sebelum itu, membabitkan 114 penumpang.
Sebelum itu, pada Mac 2022, MAHB mengumumkan telah menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa untuk disiapkan selama tiga tahun.
Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan dan disusuli dengan penganugerahan projek baharu pada Januari 2024 kepada konsortium merangkumi Alstom, pengeluar peralatan asal Aerotrain dan IJMC-Pestech JV untuk mengemudi projek itu agar kembali kembali ke landasan asal.
#Aerotrain KLIA #KLIA #Anthony Loke #tarikh beroperasi
;