Aerodyne sasar perluas penyelesaian teknologi ke pasaran pertanian India

Bernama
Julai 15, 2022 09:20 MYT
Aerodyne Group berhasrat untuk memperluaskan perniagaannya dengan menyediakan penyelesaian teknologi dron, teknologi data, dan transformasi digital (DT3) ke pasaran pertanian India bulan depan.
KUALA LUMPUR: Aerodyne Group berhasrat untuk memperluaskan perniagaannya dengan menyediakan penyelesaian teknologi dron, teknologi data, dan transformasi digital (DT3) ke pasaran pertanian India bulan depan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kamarul A. Muhamed berkata Aerodyne mengorak langkah ini memandangkan penyelesaian mereka itu berjaya bertapak dengan kukuh di Malaysia dan Indonesia baru-baru ini.
"Terdapat dorongan besar untuk teknologi ini oleh kerajaan di sana; kita sudah buat kajian pasaran dan ada yang sudah mula (menyediakannya).
"Jadi saya akan ke India pada minggu pertama bulan Ogos untuk memulakan operasi," katanya semasa webinar Perbualan MIDF pada Khamis.
Kamarul berkata Aerodyne sudah stabil di Malaysia dan penggunaan teknologi digital termaju serta penyelesaian DT3 lain dalam pertanian membolehkan Malaysia mengurangkan kebergantungannya kepada buruh murah.
Beliau berkata sesetengah pelanggannya melaporkan peningkatan hasil melebihi 30 peratus dan penyelesaian DT3 juga telah membantu pokok untuk terus hidup.
"Kami mempunyai sensor spektrum hiper (yang dapat) mengesan pokok mana yang sakit. Pelanggan telah menjimatkan kira-kira RM235 juta daripada pokok-pokok yang hampir mati," katanya.
Tambahnya, isu jaminan makanan baru-baru ini merupakan masalah yang serius dan penyelesaian menggunakan teknologi adalah perlu bagi mengurus dan mempercepatkan pertumbuhan industri pertanian.
Dalam pada itu, Kamarul berkata Aerodyne juga telah menceburi sektor pertanian, dan syarikat itu mempunyai tanah seluas 100 hektar serta berhasrat meningkatkan perniagaannya.
Sehingga kini, beliau berkata syarikat itu mempunyai nilai perolehan kira-kira RM400 juta dalam hasil pertanian.
-- BERNAMA
#Aerodyne Group #Kamarul A Muhamed #teknologi dron #DT3
;