AEON tarik telur tercemar, pelanggan yang telah beli diminta pulangkan, wang dikembalikan

Astro Awani
Mac 21, 2021 07:13 MYT
Pasar raya AEON memaklumkan telur yang terjejas mempunyai kod sama iaitu "CEM014" dan telah dikeluarkan daripada rak - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rangkaian pasar raya AEON Co (M) Bhd (AEON) menarik balik telur yang dikesan oleh pihak berkuasa Singapura dicemari bakteria salmonella enteritidis (SE).
Pasar raya itu dalam satu kenyataan memaklumkan telur yang terjejas mempunyai kod sama iaitu "CEM014" dan telah dikeluarkan daripada rak.
“Pelanggan yang telah membeli produk diminta mengembalikannya ke tempat pembelian di kaunter khidmat pelanggan untuk mendapatkan pengembalian wang berdasarkan resit," katanya kenyataan tersebut.
Jelas pasar raya itu lagi, pihaknya sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan semua pelanggan mereka.
Sehubungan itu, pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi 1300-80-2366 atau e-mel feedback@aeonretail.com.my.
Semalam, Agensi Makanan Singapura (SFA) dilapor telah mengesan satu lagi kes telur tercemar dari Malaysia.
Susulan itu, arahan telah dikeluarkan kepada beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari pengeluar berkenaan setelah dikesan tercemar oleh Salmonella Enteritidis (SE).
BACA: Telur tercemar: MAQIS tidak benarkan diimport semula
BACA: Satu lagi kes telur tercemar dari ladang Malaysia dikesan di Singapura
#Singapura #telur tercemar #Salmonella Enteritidis SE #Agensi Makanan Singapura #AEON Co M Bhd #Telur AEON