Aedy Fadly dilantik Ketua Pengarah JPJ baharu

Bernama
Julai 23, 2024 07:19 MYT
Aedy Fadly berpengalaman dalam perancangan strategik dasar, isu dan sistem berkaitan pengangkutan jalan serta perancangan operasi JPJ. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan pelantikan Aedy Fadly Ramli sebagai Ketua Pengarah baharu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Rospiagos Taha yang menjawat jawatan itu sejak 19 Jun 2023.
JPJ dalam kenyataan memaklumkan Aedy Fadly berpengalaman dalam perancangan strategik dasar, isu dan sistem berkaitan pengangkutan jalan serta perancangan operasi JPJ semasa menjawat Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ bermula 2021.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Bandar), Universiti Teknologi Berlin, Jerman, beliau juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Bahagian Pembangunan di Kementerian Pengangkutan, Setiausaha Bahagian Perolehan dan Aset di Kementerian Pendidikan serta pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan.
"Berdasarkan pengalaman dan kepimpinan, beliau akan terus memacu kecemerlangan JPJ dalam menggalas amanah negara sebagai agensi utama yang mengawal selia hal ehwal pengangkutan jalan di negara ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Jabatan Pengangkutan Jalan #pelantikan #Aedy Fadly Ramli #Ketua Pengarah JPJ