ADUN Sungai Sibuga, Mohamad Hamsan Awang Supain meninggal dunia

Ridzal Abdullah
Januari 19, 2025 07:15 MYT
Mohamad Hamsan Awang Supain, 65, menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.20 malam tadi di Hospital Pakar KPJ Kota Kinabalu akibat serangan jantung.
SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga , Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain, 65, menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.20 malam tadi di Hospital Pakar KPJ Kota Kinabalu.
Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu sebelum ini dimasukkan ke wad hospital berkenaan akibat serangan jantung.
Perkhabaran duka itu dimaklumkan sendiri oleh pegawai khasnya, Azizul Nasry ketika dihubungi, pagi tadi.
Azizul berkata, jenazah Mohamad Hamsan di bawa balik ke rumahnya di Taman Kong Lok, Sandakan untuk urusan pengebumian.
Katanya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Pangiran Batu 7 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bintang Baru Rancangan Sungai Manila sebelum waktu zohor hari ini.
“Sahabat handai boleh menziarahi Allahyarham buat kali terakhir di Masjid Pangiran Batu 7.
“Semoga roh Allahyarham sentiasa dalam hidayat, diangkat darjatnya, dimuliakan dan seterusnya ditempatkan bersama-sama para solihin serta orang-orang yang beriman,” kata beliau.
#ADUN Sungai Sibuga #Mohamad Hamsan Awang Supain #meninggal dunia #Hospital Pakar KPJ Kota Kinabalu
;