ADUN Seri Delima tidak jadi didakwa; 15 lelaki ceroboh DUN mengaku tidak bersalah

Astro Awani
Jun 19, 2014 14:29 MYT
ADUN Seri Delima, RSN Rayer (gambar) tidak jadi didakwa. --gambar fail
Pendakwaan terhadap ADUN Seri Delima, RSN Rayer mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang sepatutnya dilakukan pada Khamis di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang ditangguhkan atas arahan Pejabat Peguam Negara.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili wakil rakyat itu berkata beliau menerima notis penangguhan itu daripada Ketua Unit Pendakwaan Pejabat Penasihat Undang-undang Pulau Pinang Datuk Razali Che Ani Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Penasihat Undang-Undang, Datuk Razali Che Ani.
"Kami tidak pasti apa yang berlaku dan perkara ini jarang berlaku, pihak kami akan mendapatkan penjelasan daripada Peguam Negera mengenainya," katanya kepada pemberita di perkarangan mahkamah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid pada Rabu berkata Rayer, 43, yang juga seorang peguam, akan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948. Ia susulan 14 laporan polis berhubung kenyataan wakil rakyat berkenaan.
ADUN wakil DAP itu sebelum ini mencetuskan kemarahan ahli UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan Melayu selepas mengeluarkan perkataan 'UMNO celaka' pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 20 Mei lepas.
Rayer kemudian enggan meminta maaf atau menarik balik kenyataannya. Dia malah mengulanginya dalam ceramah terbuka DAP semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor.
Sementara itu, 15 lelaki yang menceroboh DUN Pulau Pinang sehari selepas kenyataan ADUN Seri Delima untuk menuntut wakil rakyat itu meminta maaf didakwa di Mahkamah Majistret. Semua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicara.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama. Mereka berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh diwakili oleh tiga peguam iaitu Datuk Jaharbedeen Mohamed Yunos, Datuk Abu Bakar As-Sidek dan Wan Nazri Othman. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Datuk Razali Che Ani dan Siti Fatimah Talib.
Majistret Nurul Rashidah Md. Akit membenarkan ikat jamin setiap seorang sebanyak RM2,000. Kes akan disebut semula pada 22 Julai ini.
#ADUN Seri Delima #DAP #RSN Rayer #UMNO