ADUN Selangor akan wajib kemuka deklarasi kewangan, aset
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 1, 2016 16:01 MYT
Ogos 1, 2016 16:01 MYT
Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor wajib mengemukakan deklarasi kepentingan kewangan dan pemilikan aset sekiranya pindaan Peraturan-peraturan Tetap, Dewan Negeri Selangor (DNS) diluluskan.
Pengerusi Jawatankuasa Peraturan-peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata menerusi pindaan tersebut, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DNS mempunyai kuasa untuk meminta mana-mana ADUN untuk mengemukakan deklarasi kepentingan kewangan dan aset milik mereka.
Jelas Hannah, buat masa kini, deklarasi aset itu hanya digunapakai jawatankuasa tersebut kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Negeri (Exco).
"Jadi kita nak tambah peruntukan bagi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk melihat dan menimbangkan deklarasi kepentingan kewangan oleh semua ADUN.
"Buat masa ini, deklarasi aset di Selangor hanya tertumpu pada Exco sahaja. Pindaan ini dilaksanakan adalah untuk kita menambah baik sistem demokrasi serta urus tadbir DUN Selangor," katanya pada sidang media di lobi DNS di sini hari ini.
Tambah beliau, selain pindaan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, turut dibacakan untuk kali pertama adalah penambahan ucapan Ketua Pembangkang dalam Aturan Urusan Mesyuarat.
"Salah satu daripada pindaan yang kita akan buat dalam Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor iaitu untuk memperkenalkan ucapan Ketua Pembangkang.
"Buat masa ini, ucapan Ketua Pembangkang tidak ada slot khas untuk Ketua Pembangkang. Sekarang ini Ketua Pembangkang hanya berucap dalam perbahasan atau meletakkan usul dan ia bergantung pada budi bicara speaker," katanya.
Justeru, Hannah yang juga Speaker DNS melihat pindaan tersebut menjadikan Kerajaan Negeri Selangor sebagai sebuah kerajaan yang lebih telus dan ke hadapan berbanding negeri-negeri lain.
Terdahulu, DNS yang dipengerusikan Hannah meluluskan bacaan kali pertama kedua-dua cadangan pindaan berkenaan.
Hannah berkata, bacaan kedua akan dibaca dan dibahas dalam sidang DNS seterusnya sebelum ditolak atau diluluskan.
“Jadi, dalam tempoh beberapa bulan ini kita akan mendapatkan maklum balas daripada ADN dan rakyat.
“Kita harapkan maklum balas positif sebelum penyata lengkap dapat disediakan dan dibentang dalam DNS,” katanya.