ADUN PH sokong Kedah tuntut caj air mentah dari Pulau Pinang
Bernama
Mac 14, 2023 18:03 MYT
Mac 14, 2023 18:03 MYT
ALOR SETAR: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Kedah menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan negeri menuntut caj air mentah daripada Pulau Pinang yang mendapatkan bekalan air dari Sungai Muda yang mengalir dari negeri ini.
Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (PH-Alor Mengkudu), berkata tuntutan itu adalah munasabah berikutan Kedah perlu menanggung kos penyelenggaraan sungai tersebut.
"Adalah munasabah untuk Pulau Pinang membayar caj berkenaan kepada Kedah. Kita perlu memelihara hutan (tadahan air) dan sungai juga perlu dijaga, jadi semua kos itu kita yang tanggung.
"Tetapi, saya sedar bahawa tiada peruntukan dari sudut undang-undang untuk mengenakan pertuduhan," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.
Beliau turut membangkitkan persoalan tentang status panel peguam dilantik kerajaan negeri tahun lalu bagi menguruskan isu tuntutan caj air mentah tersebut.
Phahrolrazi berkata tuntutan caj air mentah daripada Pulau Pinang itu wajar memandangkan rakyat Kedah sendiri terpaksa membayar bil air bagi menikmati bekalan yang turut diperoleh dari Sungai Muda.
"Rakyat Kedah sendiri perlu bayar caj air kepada Syarikat Air Darul Aman (SADA)...tapi tiba-tiba orang lain ambil air tanpa bayaran, jadi apa yang berlaku kepada panel peguam (yang dilantik itu)," katanya.
Kerajaan negeri sebelum ini telah mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Muda yang mengalir dari Kedah.
Bagaimanapun, Pulau Pinang tidak melayan tuntutan itu dengan Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, berkata penggunaan air oleh Pulau Pinang adalah dari sungai yang berada di kawasan sempadan negeri yang sejajar dengan hak dan undang-undang antrabangsa.
-- BERNAMA