ADUN Perak positif dadah: Kertas siasatan diserah ke pendakwa raya minggu depan - Polis

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 15, 2022 13:01 MYT
Mustafa Kamal berkata, dua anggota polis masing-masing dari kontinjen Pulau Pinang dan Perak turut ditahan bersama ADUN ketika serbuan pada Khamis. - Astro AWANI
GEORGE TOWN: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang ditahan di Pulau Pinang susulan positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat karaoke keluarga di Perai, pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan kes berkenaan dijangka diserahkan kepada Pihak Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk tindakan lanjut minggu depan.
"Kes masih dalam siasatan. Pihak kita masih menunggu laporan patologi.
"Kita akan kemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan dilengkapkan dan laporan patologi diperolehi pada minggu hadapan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mustafa Kamal berkata, ADUN berusia 54 tahun itu, yang direman satu hari, sudah dibebaskan semalam.
BACA: ADUN Perak ditahan di pusat hiburan di P. Pinang
Turut dibebaskan, dua anggota polis masing-masing dari kontinjen Pulau Pinang dan Perak, yang turut ditahan bersama dengannya pada hari serbuan.
Katanya, kesemua 36 tangkapan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB )1952.
BACA: Penahanan ADUN di Pulau Pinang, DAP Perak tunggu laporan rasmi
Pada Jumaat, polis mengesahkan seorang ADUN Perak ditahan susulan positif dadah dalam serbuan di pusat hiburan keluarga di Perai.
Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Seramai 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik, manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah.
#ADUN Perak positif dadah #pulau pinang #pusat hiburan #Mustafa Kamal Gani Abdullah
;