ADUN Perak perlu isytihar harta
Abd Razak Mohd Ali
Julai 19, 2019 19:03 MYT
Julai 19, 2019 19:03 MYT
Satu usul yang menghendaki semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengisytiharkan pendapatan dan harta akan dibentangkan pada persidangan DUN, yang dijadual bermula Selasa hingga Khamis ini.
Mereka dikehendaki mengisytiharkan harta mereka, harta milik pasangan masing-masing, anak-anak dan akaun pemegang amanah, kepada Speaker DUN dalam masa tiga bulan selepas usul diluluskan.
Speaker DUN Perak Datuk Ngeh Koo Ham berkata, maklumat itu kemudiannya akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dipaparkan di dalam portal mereka.
"Jadi, kita di Perak mengambil satu langkah yang lebih jauh daripada yang dibuat oleh negeri-negeri lain.
"Jika mereka, Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri diperlukan untuk mengisytiharkan harta, tetapi kita memerlukan Menteri Besar, Exco-exco dan juga ADUN-ADUN untuk mengisytiharkan segala harta mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, usul yang akan dibawa ADUN Pasir Bedamar Terence Naidu itu selaras dengan yang dibuat kerajaan pusat di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH), yang memperjuangkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Pada 1 Julai lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.
Sementara itu, berhubung Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang ditunda pada 11 Julai lepas, Ngeh berkata, ia tidak memberi kesan kepada Persidangan DUN Perak ke-14 pada Selasa ini.
Katanya, walaupun istiadat itu belum lagi dijalankan, ia tidak menjadi isu kerana mereka dilantik untuk satu penggal.
Jelasnya, mereka akan kekal menjadi Exco kecuali jika digugurkan atau meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatan sebagai wakil rakyat mengikut undang-undang bankrap dan sebagainya.
#ADUN
#akauntabiliti
#angkat sumpah
#Dewan Rakyat
#Exco
#isytihar harta
#kerajaan
#ketelusan
#letak jawatan
#Ngeh Koo Ham
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#Perak
#Persidangan DUN Perak
#Rasuah
#Speaker DUN
#SPRM
#tangguh
#Terence Naidu
#undang-undang