ADUN pembangkang Perak cadang wujudkan hospital baru di tapak MAPS
Amirrul Rabbani
Disember 15, 2021 13:43 MYT
Disember 15, 2021 13:43 MYT
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang Dr Ko Chung Sen mencadangkan agar Kerajaan Negeri Perak mewujudkan sebuah lagi hospital awam di bandar raya ini.
Wakil rakyat pembangkang itu mencadangkan agar Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru Raya yang ditutup pada Januari tahun lalu dijadikan lokasi pembinaan hospital berkenaan.
Katanya, keperluan mewujudkan hospital berkenaan adalah sebagai alternatif untuk mengurangkan kesesakan yang dihadapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) terutama dalam merawat pesakit COVID-19.
“Saya mencadangkan lokasi terbaik (untuk dibina sebuah hospital baharu itu) adalah di MAPS yang mana telah pun ditutup. Cadangan saya itu adalah berdasarkan infrastruktur yang lengkap di situ.
“Di MAPS sudah ada kemudahan jalan raya, ruang tempat letak kereta serta berhampiran dengan lebuh raya. Justeru tempat itu adalah lokasi terbaik untuk dibina sebuah hospital baharu,” kata ADUN DAP itu.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Belanjawan Perak 2022 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Tambah Chung Sen sudah tiba masanya Negeri Perak mempunyai lebih banyak hospital awam yang dilengkapi dengan tenaga pakar, sebagaimana di Lembah Klang.
“Dahulu hanya ada Hospital Kuala Lumpur. Namun kini di sana sudah ada Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Selayang dan Hospital Serdang.
“Sudah tiba masanya Perak juga ada sebuah lagi hospital pakar awam yang baharu. Saya meminta agar kerajaan negeri dapat membuat permohonan ini kepada Kerajaan Persekutuan.
“Saya juga meminta agar semua Exco atau pun ADUN dapat menyokong cadangan ini. Perkara ini bukan untuk penduduk di Meru Ipoh sahaja, malah kebaikkan untuk rakyat Perak,” katanya lagi.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) di laman COVIDNOW, kadar penggunaan katil hospital untuk pesakit COVID-19 di Perak berada pada tahap 70.8 peratus, setakat tengah hari semalam.
Sementara itu, 71.4 peratus penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di negeri ini direkodkan bagi tempoh sama.