ADUN pembangkang kecuali Musa, hadir angkat sumpah ahli Dewan

Bernama
Julai 2, 2018 14:23 MYT
Mohd Shafie (kanan) bersalaman dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada Persidangan DUN Sabah ke-15 di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini. --fotoBERNAMA
Semua wakil rakyat yang menyokong kepimpinan pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman, kecuali Musa sendiri, mengangkat sumpah semula sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah hari ini.
Angkat sumpah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali, berlangsung kira-kira jam 8.30 pagi, sebelum pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan DUN Sabah Ke-15 di sini.
Presiden parti Solidariti Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata dia ada menerima surat dari pejabat Speaker DUN Sabah bertarikh 17 Jun untuk hadir hari ini untuk mengangkat sumpah sebagai ahli DUN.
"Kita patuh kepada arahan Speaker sebab Speaker ada kuasa terasing. Jadi kita patuh kepada Speaker," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pembukaan persidangan DUN Sabah di sini hari ini.
Menurut Dr Jeffrey, semasa majlis angkat sumpah berkenaan Speaker DUN Sabah dan dua timbalannya turut hadir.
Sementara itu, ADUN Karanaan Datuk Seri Masidi Manjun berkata tidak timbul soal angkat sumpah mereka pada kali pertama pada 12 Jun lepas sebagai sah atau tidak sah kerana mereka cuma patuh kepada arahan Speaker.
Pada 11 Jun, semua 43 ADUN kerajaan baharu yang ketuai Parti Warisan Sabah pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir ke Persidangan Khas DUN Sabah untuk mengangkat sumpah sebagai ahli DUN Sabah dan pada persidangan itu juga DUN Sabah meluluskan undi percaya kepada Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri.
Bagaimanapun semua 21 ADUN dari UMNO dan bekas anggota komponen Barisan Nasional seperti PBS, PBRS, UPKO serta parti Solidariti yang masih setia dan menyokong kepimpinan Pengerusi Barisan Nasional Sabah Musa tidak menghadiri persidangan khas itu.
Pada keesokan harinya (12 Jun), 19 daripada 21 ADUN berkenaan tampil mengangkat sumpah sebagai Ahli DUN Sabah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.
Setakat ini, hanya Musa, yang juga ADUN Sungai Sibuga dan sedang menjalani rawatan kesihatan di United Kingdom sahaja, belum mengangkat sumpah sebagai Ahli DUN Sabah.
-- BERNAMA
#ADUN #ADUN Sabah #angkat sumpah #Barisan Nasional #Jeffrey Kitingan #kesihatan #Masidi Manjun #Mohd Shafie Apdal #Musa Aman #Sabah #sidang dun #UMNO #United Kingdom
;