ADUN Pasir Berdamar Terrance Naidu didakwa ambil dadah

Dewi Nur Harasha Alias
April 20, 2022 12:58 MYT
Terrance Naidu didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan penyalahgunaan dadah. - Foto Astro AWANI
BUKIT MERTAJAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Berdamar Perak, Terrance Naidu didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan penyalahgunaan dadah pada Januari lalu.
ADUN DAP Perak berusia 53 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memberikan dirinya dadah jenis ‘3-4 methylenedioxymethamphetamine (MDMA)’ yang ia adalah dadah berbahaya yang ditetapkan di Bahagian 3, jadual pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada jam 12.13 tengah malam, 14 Januari lalu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dibawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Datuk Khairul Anuar Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer.
Semasa prosiding kes, Khairul Anuar memohon kepada mahkamah supaya menetapkan wang jaminan RM5,000 terhadap Naidu.
Bagaimanapun Ramkarpal memohon supaya wang jaminan itu dikurangkan memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama sejak hari pertama dia ditahan polis.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan, seorang ADUN dari Perak ditahan di sebuah pusat hiburan keluarga di Perai dalam serbuan polis pada jam 9 malam, 13 Januari lalu dan ujian air kencing dilakukan mendapati beliau positif dadah.
Dalam serbuan oleh Jabatan Integriti dan pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman itu, keseluruhan 48 individu yang ditahan dan 36 orang berkait dadah, manakala 12 lagi kesalahan jenayah.
#ADUN Perak #Terrance Naidu #ambil dadah #dadah berbahaya #Bukit Mertajam
;