ADUN Pasir Berdamar Terence Naidu hantar representasi gugur pertuduhan salah guna dadah

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 17, 2022 18:08 MYT
Pada 20 April, Terence (kiri) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah pada Januari lalu. - Gambar fail/ Astro AWANI
BUKIT MERTAJAM: Peguam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Terence Naidu akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan pertuduhan penyalahgunaan dadah yang dihadapinya.
Peguamnya, T Turuvandran, berkata ini kerana ADUN Pasir Bedamar itu mendakwa pertuduhan yang dibuat ke atasnya tidak berasaskan bukti yang kukuh.
Beliau berkata demikian ketika sebutan kes tersebut di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.
Terdahulu, pihak pendakwaan menyerahkan salinan laporan polis, laporan kimia, gambar sampel air kencing tertuduh beserta gambar tempat kejadian kepada pihak pembelaan.
BACA: ADUN Pasir Berdamar Terence Naidu didakwa ambil dadah
Mahkamah kemudiannya menetapkan 30 Jun ini untuk pengurusan kes selanjutnya.
Pada 20 April, Terence mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah pada Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan dirinya dadah jenis ‘3-4 methylenedioxymethamphetamine (MDMA)’ yang ia adalah dadah berbahaya yang ditetapkan di Bahagian 3, jadual pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dibawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun.
Dia bagaimanapun dibenarkan ikat jamin RM4,000.
Media sebelum ini melaporkan, seorang ADUN dari Perak ditahan di sebuah pusat hiburan keluarga di Perai dalam serbuan polis pada jam 9 malam, 13 Januari lalu dan ujian air kencing dilakukan mendapati beliau positif dadah.
Dalam serbuan oleh Jabatan Integriti dan pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman itu, keseluruhan 48 individu yang ditahan dan 36 orang berkait dadah, manakala 12 lagi kesalahan jenayah.
#ADUN Pasir Bedamar #ADUN Perak #Terence Naidu #Dadah
;