ADUN Pakatan berselisih pendapat tentang gaji ADUN Selangor

Astro Awani
November 29, 2013 18:55 MYT
Isu kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bukan hanya mengundang perbalahan dikalangan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi turut melibatkan ADUN Pakatan Rakyat.
Terbaru, ADUN Batu Caves (PKR), Amirudin Shari membidas kenyataan ADUN Sungai Pinang (DAP) Teng Chang Khim yang menyelar tindakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Azmin Ali, yang meminta kenaikan gaji yang diluluskan DUN Selangor ditangguhkan.
Amir berkata, di negara-negara Komanwel, BBC berperanan mendukung usul yang dibawakan oleh kerajaan dalam dewan persidangan.
"Namun, usul tersebut haruslah dibincangkan terlebih dahulu dan diperbahaskan dalam mesyuarat 'pre council' bagi mendapat persetujuan BBC seperti amalan di negara-negara Komanwel.
"Kita cuma mahu ada komunikasi antara Kerajaan dengan BBC," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau yang juga anggota BBC Selangor menegaskan pendirian kelab tersebut bersetuju dengan kenaikan gaji tetapi perlu pada kadar yang munasabah.
Katanya, sepatutnya kemudahan asas ADUN seperti kemudahan pejabat, pegawai penyelidik dan kemudahan perpustakaan serta sistem Hansard secara online yang lebih baik perlu diberi keutamaan.
Awal tengah hari, Teng mendakwa Azmin berada di dalam dewan ketika usul kenaikan gaji dibahaskan.
Malah Teng mendakwa Azmin hanya diam ketika usul tersebut dibentang untuk perbahasan sebelum diluluskan oleh DUN Selangor.
"Apabila rang undang-undang yang telah dibentang, dibahas dan diluluskan, beliau (Azmin) ada dalam Dewan. Dia tak bercakap sepatah pun.
"Kecuali dua wakil rakyat, Sekinchan (Ng Suee Lim) dan Kampung Tunku (Lau Weng San) yang bercakap menyokong rang undang-undang tersebut, yang lainnya yang hadir dalam sesi perbahasan itu tidak membantahnya.
"Malah pada peringkat ketiga bacaannya, mereka duduk dalam Dewan. Jadi mereka tidak boleh kata yang mereka tidak bersetuju sekarang," katanya kepada wartawan.
DUN Selangor pada Rabu meluluskan kenaikan gaji untuk kesemua 56 anggota DUN berkuat kuasa Januari 1 depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.
Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN daripada RM6,109.29 kepada RM22,500; timbalan speaker daripada RM3,327.50 kepada RM15,750 dan ADUN daripada RM6,000 kepada RM11,250.
Kali terakhir pindaan gaji dibuat ialah pada 2011.
Kenaikan gaji itu bagaimanapun dipertikaikan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan ianya terlalu tinggi dan menyarankan Khalid supaya mencari jalan untuk mengkaji semula kenaikan gaji tersebut.
Sementara Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa pula meminta Khalid menangguhkan kenaikan gaji ADUN negeri tersebut yang dijadualkan berkuatkuasa Januari depan.
Bagaimanapun kenaikan gaji ini disokong Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), yang berpendapat ADUN Selangor adalah wajar supaya ia setara dengan tanggunjawab mereka.
Pengarah Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan berkata, gaji yang mereka perolehi perlu sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul kerana kuasa dan dana mereka pegang amatlah besar.
#adun selangor #Amirudin Shari #Azmin Ali #kenaikan gaji #Teng Chang Kim
;