ADUN P.Pinang guna baki peruntukan penggal lalu - Kon Yeow

Sinar Harian
Ogos 29, 2023 14:54 MYT
Barisan ADUN Pulau Pinang selepas Majlis Angkat Sumpah ADUN Pulau Pinang bagi penggal baharu di Dewan Undangan Negeri. -Foto Bernama
GEORGE TOWN: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang bagi penggal ini akan menggunakan baki peruntukan penggal lalu untuk dibelanjakan di kawasan masing-masing.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semua ADUN yang baharu akan menguruskan baki peruntukan yang ditinggalkan oleh wakil rakyat bagi penggal yang lalu.
"Peruntukan untuk ADUN pada ketika ini masih kekal sebab kini sudah masuk suku yang terakhir. Semua ahli dewan yang baru akan menguruskan baki peruntukan bagi penggal yang lepas.
"Ini bermaksud, bajet bagi tahun ini, apa yang sudah dibelanja oleh Ahli Dewan sebelum ini masih ada baki kerana kita (pada ketika itu) mengehadkan penggunaan.
"Ia dilakukan supaya ada baki untuk Ahli Dewan yang baru yang dipilih untuk digunakan. Bagi pembangkang pun sama, kalau ada baki, kita akan meneruskan peruntukan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Angkat Sumpah 40 ADUN Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Katanya, Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan dasar peruntukan kepada Ahli Dewan kerajaan termasuk pembangkang.
Ditanya sama ada peruntukan bagi ADUN pembangkang sama jumlah dengan wakil rakyat kerajaan, Kon Yeow berkata, ia semestinya tidak sama.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menafikan bahawa wujud percanggahan apabila melantik Datuk Seri S Sundarajoo yang merupakan bekas pemaju untuk portfolio perumahan dan alam sekitar dalam kerajaan.
Kata Kon Yeow, walaupun kedua-dua portfolio itu dipegang oleh dua orang yang berlainan, semua keputusan yang dibuat masih perlu melalui Mesyuarat Exco Kerajaan Pulau Pinang.
"Siapa yang mengatakan pembangunan perumahan akan memusnahkan alam sekitar?
"Bukankah kita boleh pandang segala pembangunan sebenarnya boleh menambah baik suasana alam sekitar dengan lebih baik, landskap yang lebih indah, kerja-kerja mengukuhkan lereng (sekiranya perlu) dan membina jalan-jalan untuk menghubungkan kawasan-kawasan terpencil.
"Bukankah ini hasil daripada pembangunan fizikal? Kita ada jurutera, perancang bandar, arkitek dan semua profesional yang di amanat untuk menjaga alam sekitar jaga dengan lebih baik melalui pembangunan yang dilakukan.
"Jadi saya tak nampak ada apa-apa percanggahan. Sundarajoo sebelum ini merupakan pengamal pembangunan sebelum ini, projek-projek mereka yang dilakukan telah membawa penambahbaikan kepada alam sekitar.
"Jika dipegang oleh dua orang pun, sama juga. Akhirnya kerajaan juga yang akan memutuskan permohonan sesuatu pembangunan itu," katanya.
Sebelum ini, badan bukan kerajaan, Aliran Kesedaran Negara (Aliran) menggesa kerajaan negeri merombak portfolio yang dipegang oleh Sundarajoo bagi mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

Kata Aliran, portfolio perumahan dan alam sekitar harus diletakkan di bawah dua orang yang berbeza, sebaik-baiknya daripada parti yang berlainan di dalam kerajaan campuran. -Sinar Harian

#Chow Kon Yeow #ADUN pulau pinang #S Sundarajoo #baki peruntukan
;