ADUN Muara Tuang, Idris Buang dilantik Timbalan Speaker DUN Sarawak

Afiezul Samit
Februari 11, 2022 18:48 MYT
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Idris Buang dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang baharu.
Idris, 68, dilantik bagi menggantikan Datuk Gerawat Gala, yang dilantik sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek).
Beliau mengangkat sumpah jawatan dalam satu majlis khas di DUN Sarawak, yang dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada Jumaat.
Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 18 Disember lalu, Idris berjaya mempertahankan kerusinya, dengan majoriti 8,578 undi, menewaskan tiga pencabar lain.
Beliau yang pernah menjawat Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak mula bertanding di DUN Muara Tuang pada 2016, setelah penyandang kerusi tersebut, Datuk Seri Ali Mahmud berpindah ke kawasan baharu di DUN Stakan.
Idris memulakan kerjaya sebagai pegawai kanan polis sebelum berhenti untuk terlibat sepenuh masa dalam bidang guaman.
Beliau memperoleh ijazah Undang-Undang dari University of Buckingham, United Kingdom pada 1982, sebelum berdaftar sebagai pengamal perundangan dengan Lincoln's Inn.
Idris setelah itu diterima sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada 1983, sebelum membuka firma guamannya sendiri, Idris-Buang and Associates di Kuching.
#Timbalan Speaker DUN Sarawak #Idris Buang dilantik #Muara Tuang #Idris Buang
;