ADUN Mahkota Sharifah Azizah stabil, dipantau doktor - Onn Hafiz

Bernama
Julai 31, 2024 10:32 MYT
Sharifah Azizah dikatakan kini semakin positif jika dibandingkan semasa dirujuk ke hospital malam tadi selepas mengadu sesak nafas. - Gambar fail
KLUANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain kini stabil dan dalam pemantauan doktor, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Onn Hafiz berkata keadaan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang itu yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dilihat semakin pulih, namun memerlukan rehat pada masa ini.
Beliau berkata kerajaan negeri turut berterima kasih kepada pihak hospital kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan kesihatan beliau kembali pulih selepas dimasukkan ke hospital malam tadi.
"Sama-sama kita berdoa agar beliau kembali sihat seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika meluangkan masa kira-kira 20 minit menziarahi Sharifah Azizah di HEBHK hari ini.
Sementara itu, anak keempat Sharifah Azizah, Nadia Abu Bakar berkata keadaan ibunya kini semakin positif jika dibandingkan semasa dirujuk ke hospital malam tadi selepas mengadu sesak nafas.
"Ibu dimasukkan ke hospital pukul 2 pagi tadi akibat sesak nafas, keadaannya sekarang stabil dan tidak membimbangkan.
"Beberapa status dimuat naik berkaitan kesihatan ibu yang agak teruk adalah tidak benar dan diharap tidak menyebarkan berita-berita tidak betul dan tidak berkaitan," katanya.
-- BERNAMA
#ADUN Mahkota #Sharifah Azizah Syed Zain #onn hafiz ghazi #dipantau doktor #sesak nafas