ADUN Johor dapat peruntukan tambahan RM60,000

Astro Awani
Mac 27, 2023 04:45 MYT
Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan ini akan disalurkan dalam tempoh seminggu. - Gambar fail
ISKANDAR PUTERI: Seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor akan menerima peruntukan tambahan berjumlah RM60,000 bagi melaksanakan program di bulan Ramadan, Aidilfitri selain menjayakan Agenda Johor Bersih di kawasan masing-masing.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peruntukan ini akan disalurkan dalam tempoh seminggu.
"Sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelma, kerajaan negeri bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM20,000 untuk program-program di bulan Ramadan, selain RM20,000 untuk program Hari Raya Aidilfitri.
"Kerajaan negeri tambah lagi peruntukan sebanyak RM20,000 untuk menjayakan Agenda Johor Bersih di kawasan masing-masing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Ucapan Penggulungan Mesyuarat Keempat Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Johor Yang ke-15 di Kota Iskandar, hari ini.
Beliau berharap peruntukan itu akan memberi manfaat kepada rakyat dan Bangsa Johor secara keseluruhannya.
#Menteri Besar Johor #peruntukan tambahan #adun johor #Puasa 2023