ADUN Johol dikejarkan ke IJN akibat serangan jantung
Shuhada Abdul Kadir
Ogos 22, 2024 10:25 MYT
Ogos 22, 2024 10:25 MYT
JOHOL: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman, dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas dilaporkan tidak sedarkan diri kerana serangan jantung, semalam.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim berkata, beliau dimaklumkan Saiful Yazan dikejarkan ke IJN kira-kira pukul 3 petang semalam dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU).
“Pada awalnya saya cuba hubungi Saiful Yazan yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Piliah lebih kurang pukul 2 lebih, namun panggilan itu dijawab oleh isterinya.
“Saya dimaklumkan oleh isterinya, ketika Saiful Yazan dalam perjalanan ke Pusat Dagangan Dunia Putra (WTC), secara tiba-tiba dia terkena serangan jantung dan tidak sedarkan diri, sebelum isterinya terus bergegas membawanya ke IJN,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ismail berkata, lewat petang semalam dia bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias sempat ke IJN untuk menziarahi Saiful Yazan.
“Bagaimanapun, kami tidak dapat berjumpa dengannya kerana beliau masih dalam rawatan dan dipantau rapi oleh pihak hospital di IJN.
“Tetapi, setakat ini, saya dimaklumkan pihak hospital telah melakukan prosedur yang sepatutnya dan saya harap doa semua supaya Saiful Yazan kembali sembuh sepenuhnya,” tambahnya.
Saiful Yazan merupakan wakil rakyat sejak tahun 2018 di DUN Johol selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan 15 serta Pilihan Raya Negeri.