ADUN Hulu Kinta diarah keluar dewan
Abd Razak Mohd Ali
Disember 16, 2021 17:10 MYT
Disember 16, 2021 17:10 MYT
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad sekali lagi mencuri tumpuan apabila diarahkan keluar ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersidang, hari ini.
Arahan itu dikeluarkan Speaker, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid selepas wakil rakyat itu terus berucap walaupun telah diarahkan berhenti oleh Timbalan Speaker, Khalil Yahya sebelumnya.
Kekecohan itu bermula apabila Muhamad Arafat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil, Datuk Abdul Yunus Jamhari mengenai kenaikan harga barang.
Disebabkan masa yang diberikan telah tamat, Abdul Yunus memberi jaminan akan menjawab soalan itu secara bertulis.
Bagaimanapun Muhamad Arafat yang tidak berpuas hati, terus berucap mendesak Abdul Yunus menjawab soalan-soalan yang dibangkitkannya.
Khalil yang mengendalikan persidangan ketika itu memberi kata dua sama ada ADUN Hulu Kinta itu mahu duduk atau keluar berehat di kantin.
Bagaimanapun, Mohamad Zahir yang masuk menggantikan Khalil terus membuat keputusan mengarahkan Muhamad Arafat keluar.
ADUN Hulu Kinta itu kemudiannya keluar Dewan sambil diiringi oleh Bentara.
Pada Selasa ADUN PKR itu mencuri tumpuan apabila memegang ayam segar ketika berbahas, sebagai ‘gimik’ untuk mengulas isu harga barangan terutama ayam segar yang mengalami peningkatan sejak akhir-akhir ini.
Menurutnya, ayam itu yang sebagai ‘hadiah’ kepada Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Semanggol.
#ADUN Hulu Kinta
#Muhamad Arafat Varisai Mahamad
#keluar dewan
#DUN Perak
#Timbalan Speaker
#Khalil Yahya
#Abdul Yunus Jamhari