ADUN Galas tulis buku dengan mesej, COVID-19 itu benar
Muhafandi Muhamad
Jun 24, 2021 10:51 MYT
Jun 24, 2021 10:51 MYT
GUA MUSANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim menjadi bekas pesakit COVID-19 pertama mendokumentasi kisahnya selama 15 hari dijangkiti virus itu, dalam sebuah buku bertajuk Daku YB COVID-19.
Beliau berkata, tujuan menulis buku tersebut bukan sekadar untuk berkongsi pengalaman, sebaliknya diharap dapat memberi iktibar dan kesedaran kepada masyarakat bahawa COVID-19 itu benar.
Buku setebal 121 muka surat yang diterbitkan JT Books PLT itu turut memuatkan kata pengantar nukilan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
"Saya menjadi orang pertama yang mendokumenkan 15 hari sebagai pesakit COVID-19. Ada 121 halaman, jika dibaca secara santai, satu hingga satu jam setengah, selesai.
"Saya selitkan bersama gambar-gambar untuk membawa pembaca menyelami perasaan sebagai pesakit COVID.
"Juga, menyelami berkenaan penyakit itu dan merasai sendiri detik disahkan sebagai pesakit COVID-19, serta peranan pihak berkuasa," katanya.
Mohd Syahbuddin berkata buat masa ini, cetakan pertama sebanyak 1,000 naskah sudah mula dijual dan pihak yang berminat mendapatkan buku berkonsepkan bacaan santai itu boleh membelinya menerusi platform e-dagang Shopee.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (Peka GM) berkata, buku Daku YB Covid-19 dijual dengan harga RM15 senaskah.
Hasil jualan buku itu akan disalurkan kepada Peka GM selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk dimanfaatkan bagi membantu golongan memerlukan yang terjejas akibat wabak COVID-19.
#Gua Musang
#ADUN
#COVID-19
#Buku
#Mohd Syahbuddin Hashim
#Daku YB COVID-19
#pengalaman
#Kesedaran
#iktibar
#Shopee
#Peka GM
#bacaan santai