ADUN Galas cadang Gua Musang sebagai 'Bandar Mahkota Kelantan'
Vivi Sumanti
Mac 29, 2022 16:30 MYT
Mac 29, 2022 16:30 MYT
KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mencadangkan supaya Gua Musang diberi nafas baharu dengan diberi gelaran "Bandar Mahkota Kelantan" .
Cadangan itu katanya kerana Gua Musang mempunyai sejarah indah di mana Long Tan, Putera Long Yunus Yang Dipertuan Negeri Kelantan pernah memerintah pada tahun 1765-1795.
"Sewaktu Sultan Muhamad I memerintah Kelantan daripada 1801 sehingga 1836, baginda telah membahagikan kawasan pemerintahan dengan menyerahkan Galas, Ulu Kelantan kepada Long Tan.
"Long Tan pernah menjadi Raja Pemerintah di Galas, Ulu Kelantan. Sewaktu pemerintahan baginda, Galas begitu makmur dan sejahtera.
"Saya berpandangan cadangan Bandar Mahkota di Gua Musang ini patut turut diberi perhatian. Gua Musang punyai model Masjidil Haram, satu-satu di dunia, mempunyai Stesen Kereta Api Diraja dan sebagainya," katanya semasa membahaskan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke V di persidangan Kali Pertama Bagi Tempoh Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Ke-14 hari ini.
Jelasnya lagi, kawasan Galas dan Gua Musang adalah pintu masuk ke negeri Kelantan melalui laluan pantai barat.
Mohd Syahbuddin berkata dengan menjenamakan Gua Musang sebagai Bandar Mahkota Kelantan, ia diharapkan dapat meningkatkan infrastruktur yang lengkap, kebertanggungjawaban semua pihak, dan fasiliti bertaraf nasional dapat disediakan di Gua Musang.
Sementara itu Mohd Syahbuddin turut memaklumkan Bandar Perabot di Gua Musang yang diilhamkan sebelum ini masih sepi tanpa berita.
"Bandar Perabot mendapat perhatian dari Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan yang menitahkan mengenai perkara itu.
"Saya berpandangan kerajaan perlu melakukan sesuatu dengan segera, kita dah jadi seumpama penglipur lara dah. Janji 1,500 peluang pekerjaan tetapi hingga kini, habuk pun tak ada, tak nampak “go skaro” (apa benda pun)," jelasnya lagi.
Bandar Perabot Gua Musang dirasmikan dengan pecah tanah pada 10 September 2020 dengan RM20 juta kos infra keseluruhan yang dipohon melalui Rancangan Malaysia Ke 12.