ADUN di Sabah memang suka lompat parti untuk dapatkan kuasa - Bung Moktar

Hasimi Muhamad
Februari 21, 2023 18:35 MYT
Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mendakwa tindakan tersebut dilakukan untuk memperlihatkan GRS sebagai sebuah gabungan parti yang kuat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kegiatan membeli Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah didakwa masih lagi berlaku sehingga hari ini termasuk oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mendakwa tindakan tersebut dilakukan untuk memperlihatkan GRS sebagai sebuah gabungan parti yang kuat.
Bekas Timbalan Ketua Menteri I Sabah itu turut kesal walaupun Akta Anti Lompat Parti telah diwujudkan tetapi ia tidak berkesan untuk membendung aktiviti lompat parti di Sabah.
"Saya pun dulu tertanya-tanya bila kerajaan negeri melaksanakan Akta Anti Lompat Parti, rupa-rupanya ada udang di sebalik mi.
"Dia mahu beli orang untuk memperlihatkan bahawa GRS adalah satu kekuatan. Ini Yang Dipertua berlaku pada era Berjaya, di mana Berjaya membeli ADUN untuk masuk parti itu tetapi akhirnya mereka kalah dalam pilihan raya," katanya di Dewan Rakyat.
Berjaya atau Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah adalah hasil kerjasama Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Fuad Stephens dan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Harris Salleh.
Ia merupakan sebahagian daripada gabungan Barisan Nasional (BN) sejak penubuhannya pada 15 Julai 1975, dan memerintah negeri Sabah dari 1976 hingga 1985.
Membahaskan lagi, Bung Moktar yang juga ADUN Lamag menyifatkan ADUN di Sabah sememangnya suka melompat parti bagi mendapatkan kuasa atau kedudukan.
"Asal jadi pengkhianat, dapat jawatan. Jadi pengkhianat... lompat, jadi menteri walaupun tidak layak dan tidak ada pendidikan langsung pun boleh jadi menteri," katanya.
Selain itu, Bung Moktar mendakwa Kerajaan Negeri Sabah turut tidak memikirkan hala tuju dan masa depan rakyat negeri itu, sebaliknya hanya mahu mempertahankan kuasa sahaja.
"(Mereka) mahu memperlihatkan kepada orang ramai bahawa GRS... PGRS (Gagasan Rakyat) kuat mengugut orang sana sini dan membeli dengan wang ringgit, dengan tawaran jawatan dan sebagainya. Ini harus dihentikan," tegas Bung Moktar.
#ADUN #Bung Moktar Radin #Ketua Menteri #Gabungan Rakyat Sabah
;