ADUN Dengkil ditahan: Adhif nafi, Bersatu Selangor sahkan ADUN Selangor ditahan
Astro Awani
Januari 13, 2020 13:07 MYT
Januari 13, 2020 13:07 MYT
MANA satu cerita yang betul?
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah menafikan dakwaan beliau ditangkap polis selepas didapati positif dadah dalam satu serbuan di pusat hiburan sekitar Damansara, Petaling Jaya, awal pagi Isnin.
Dalam kenyataannya kepada Astro AWANI pada sebelah pagi, beliau memaklumkan akan membuat kenyataan dalam waktu terdekat bagi menjelaskan perkara berkenaan.
Dalam masa sama, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari pula mengesahkan penahanan seorang ADUN dari parti itu.
Abdul Rashid yang juga Naib Presiden Bersatu bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu berikutan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Menurut Abdul Rashid, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kami sedang menunggu apa hasil siasatan kes ini. Saya juga sudah berbincang dengan Presiden Parti (Tan Sri Muhyiddin Yassin) semalam dan kami perlu menunggu siasatan polis.
“Apa hasil siasatan itu saya tidak tahu tetapi jika ada kes, tiada sesiapa melebihi undang-undang. Saya juga tidak tahu sama ada beliau kini berada di rumah atau di balai polis,” katanya seperti dilaporkan portal Berita Harian.
Usaha Astro AWANI menghubungi ADUN itu bagi mendapatkan raksi beliau mengenai kenyataan Abdul Rashid bagaimanapun tidak berhasil apabila panggilan tidak berjawab.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ada menerima maklumat mengenai tangkapan seorang ADUN melalui media sosial tetapi belum ada laporan rasmi mengenai perkara itu.
"Saya sedang menunggu laporan berkaitan perkara tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas hadir pada Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pagi ini.