ADUN Chukai lapor polis individu sebar video aib

Sinar Harian
Jun 6, 2022 09:45 MYT
Hanafiah membuat laporan di Balai Polis Chukai di Kemaman jam 11 malam Ahad. - Foto Sinar Harian
KEMAMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat membuat laporan polis terhadap individu yang menyebarkan video beliau bersama ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Chukai disini, jam 11 malam pada Ahad.
Menurut Hanafiah, laporan itu dibuat susulan penyebaran video oleh individu tidak dikenali di laman sosial yang menunjukkan ADUN Kijal itu seolah-olah ingin memegang kemaluannya.
Katanya, beliau menyedari video itu disebarkan ketika berada dalam Majlis Perasmian program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Stadium Gong Badak, di Kuala Nerus, jam 1.30 tengah hari pada Sabtu.
"Saya mendapati satu penyebaran video oleh individu tidak dikenali di media sosial dan grup WhatsApp menunjukkan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said memegang kemaluan saya.
"Penyebaran video itu bertujuan mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya," katanya.
Beliau yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional berkata, tindakan itu disifatkan sebagai melampau kerana dirakam dan disebarkan tanpa pengetahuannya.
"Saya meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap penyebar video tersebut dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
Pada Sabtu, tular rakaman video menunjukkan Ahmad bersama Hanafiah merakam gambar bersama pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus.
Video berkenaan menunjukkan ADUN Kijal itu dalam nada bergurau ingin memegang kemaluan Hanafiah.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#laporan polis #Hanafiah Mat #Ahmad Said #video aib
;