ADUN cadang insentif RM500 kepada petugas barisan hadapan
Bernama
September 7, 2021 19:06 MYT
September 7, 2021 19:06 MYT
SEREMBAN: Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan hari ini meminta kerajaan negeri menimbangkan pemberian insentif secara one-off (sekali bayar) kepada petugas barisan hadapan bagi menghargai peranan mereka menangani penularan COVID-19 di negeri ini.
ADUN Bagan Pinang Datuk Tun Hairudin Abu Bakar berkata insentif itu wajar diberikan atas usaha dan jasa mereka membantu kerajaan tanpa henti sejak COVID-19 melanda negara Mac tahun lalu.
"Oleh itu, saya cadangkan mereka diberi insentif sebanyak RM500 seorang tanpa mengira sama ada dari agensi Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan atau aktivis sukarela," katanya ketika sesi perbahasan pada Persidangan DUN Negeri Sembilan di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Menyuarakan hasrat sama, ADUN Pertang Noor Azmi Yusof berkata pengorbanan petugas barisan hadapan dalam melandaikan lengkuk COVID-19 tanpa mengira masa dan situasi sehingga kadang-kadang terpaksa mengetepikan kepentingan ahli keluarga, perlu dihargai semua pihak.
Beliau berkata usaha gigih golongan itu dengan kerjasama pelbagai pihak juga telah menjadikan negeri itu berjaya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh yang cepat.
"Kalau kerajaan Persekutuan bagi imbuhan kepada petugas barisan hadapan sebanyak RM600 seorang baru-baru ini, kita juga boleh melakukan yang sama kerana mereka banyak membantu sehingga Negeri Sembilan boleh mencapai imuniti kelompok dengan pantas," katanya.
-- BERNAMA