Adun BN Selangor kesal masih tiada siasatan, tindakan ke atas DEIG

Bernama
September 10, 2015 23:54 MYT
Adun BN turut mendesak Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menjelaskan secara terbuka kewujudan sumbangan zakat RM2.5 juta daripada DEIG. - Gambar Fail
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor pada Khamis menyatakan kekesalan kerana mendakwa masih tiada sebarang siasatan atau tindakan pihak berkuasa terhadap penubuhan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang menimbulkan keraguan pelbagai pihak.
Setiausahanya Budiman Mohd Zohdi berkata pihaknya sudah beberapa kali membangkitkan persoalan dan kebimbangan rakyat terhadap entiti baharu yang akan menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) itu tetapi sehingga kini tiada tindakan susulan diambil.
"Pihak berwajib sedia maklum akan isu yang dikatakan ketidakpatuhan dan pelanggaran kod etika dalam urus tadbir kerajaan negeri berkenaan DEIG, bukan sahaja sidang media, malah laporan polis juga sudah dibuat.
"Namun, sangat jelas bahawa tiada satu pun tindakan diambil atau pun kelihatan akan diambil oleh agensi-agensi berwajib ini. Tinggalan ini adalah satu yang sangat dikesalkan kerana seolah-olah isu DEIG ini tidak penting dalam urusan pentadbiran negeri," katanya dalam sidang media di Bangunan Umno Selangor di Shah Alam, hari ini.
Selain itu, beliau turut mendesak Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menjelaskan secara terbuka kewujudan sumbangan zakat RM2.5 juta daripada DEIG pada 12 Julai lepas, sedangkan menteri besar itu memberitahu bahawa entiti baharu yang ditubuhkan pada Disember tahun lepas itu masih belum beroperasi.
"Hal ini perlu dijelaskan oleh Menteri Besar memandangkan ia melibatkan pihak istana secara langsung, yang secara suci hati menerima sumbangan tersebut daripada DEIG. Apakah dimaksudkan oleh Menteri Besar sebagai 'belum beroperasi' ini? Mohon perjelaskan demi mengelakkan kekeliruan kepada rakyat.
Penubuhan DEIG yang dimiliki sepenuhnya oleh MBI itu menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan kelemahan entiti baharu itu didedahkan demi kepentingan rakyat Selangor.
Bagaimanapun, Azmin dilaporkan berkata kewujudan DEIG diketahui semua Adun Selangor sejak awal penubuhannya dan sebarang keraguan mengenai kewujudan entiti itu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana maklumat mengenainya dibentangkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Ogos lepas.
Azmin juga dilaporkan berkata entiti yang ditubuhkan untuk mengurangkan impak dan risiko perniagaan secara terus terhadap kerajaan negeri itu masih belum memulakan operasi malah tidak terlibat dengan mana-mana transaksi sehinggalah pada awal 2016.
#Budiman Mohd Zohdi #Darul Ehsan Investment Group #DEIG