ADUN BN persoal tujuan MPSP tidak patuh arahan

Bernama
Ogos 3, 2017 21:45 MYT
Muhamad Farid (gambar) berkata kegagalan MPSP menyerahkan semua wang hasil kutipan caruman saliran tersebut menyebabkan banyak projek pencegahan banjir di kawasan yang sangat memerlukan tidak dapat dilaksanakan dengan segera. - Gambar fail
Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) hari ini mempersoal tindakan dan tujuan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk tidak menyerahkan sepenuhnya wang hasil kutipan caruman saliran kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang (JPSPP) untuk diakaunkan.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong Datuk Muhamad Farid Saad berkata tindakan MPSP menyimpan dan tidak menyerahkan wang kutipan caruman saliran itu bercanggah dengan Arahan Amanah yang menghendaki semua terimaan caruman saliran diakaunkan ke dalam Akaun Amanah Saliran yang diselenggara Pengarah JPSPP sebagai pegawai pengawal.
"Pendedahan Laporan Ketua Audit Negara berhubung kegagalan MPSP mematuhi Arahan Amanah mencalar integriti MPSP, satu cabang kerajaan negeri Pulau Pinang. Ketelusan tata kelola kewangannya boleh dipersoal. Apatah lagi baru-baru ini bila mana MPSP dikaitkan dengan tindakan menggunakan wang awam untuk membeli anugerah bagi mendapatkan dua pengiktirafan palsu.
"Kegagalan atau lebih tepat, dengan sengaja melengahkan penyerahan wang hasil kutipan caruman saliran juga menunjukkan dasar ketelusan kerajaan negeri tidak dipatuhi. Dasar CAT (ketelusan, akauntabiliti, kecekapan) kerajaan negeri Pulau Pinang nampaknya telah mati seperti mana yang saya nyatakan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu," katanya dalam satu kenyataan.
Laporan Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai lepas menyebut sehingga Jun 2016, sejumlah RM22.09 juta baki wang caruman masih belum diserah kepada JPSPP.
Muhamad Farid berkata kegagalan MPSP menyerahkan semua wang hasil kutipan caruman saliran tersebut kepada JPSPP menyebabkan banyak projek pencegahan banjir di kawasan-kawasan yang sangat memerlukan tidak dapat dilaksanakan dengan segera.
"Pada tahun 2016 sahaja, empat kawasan di daerah Seberang Perai Tengah dilanda bencana banjir sebanyak 21 kali," katanya.
Beliau berkata tindakan MPSP menyimpan wang kutipan caruman saliran yang sepatutnya diserahkan kepada JPSPP untuk 'menampakkan aliran tunainya cantik' telah mengakibatkan kesusahan dan kepayahan kepada penduduk Seberang Perai.
Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata arahan Yang Dipertua MPSP kepada Jabatan Perbendaharaan MPSP pada tahun 2010 untuk menyerahkan hanya RM400,000 setahun wang kutipan caruman saliran kepada JPSPP bagi mengawal aliran wang tunai MPSP adalah sangat tidak wajar dan perlu diambil tindakan memandangkan arahan itu dibuat tanpa mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri.
"Adalah sangat tidak wajar bagi Majlis Kerajaan Tempatan membuat satu keputusan dengan membelakangkan ketua menteri dan kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya.
-- BERNAMA
#ADUN #Anggota Dewan Undangan Negeri #Arahan Amanah #Barisan Nasional #caruman #integriti #Jabatan Pengairan dan Saliran #JPSPP #Laporan Ketua Audit Negara #Majlis Perbandaran Seberang Perai #MPSP #Muhamad Farid Saad #pulau pinang #wakil rakyat
;