ADUN Apas cadang hanya warganegara dibenar bina semula rumah di tapak kebakaran Kampung Kurnia Jaya
Astro Awani
Mac 24, 2022 15:36 MYT
Mac 24, 2022 15:36 MYT
TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan akan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya membenarkan pembinaan semula rumah di tapak kebakaran Kampung Kurnia Jaya, di sini.
Katanya, perkara itu akan dikemukakan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor agar semua penduduk tempatan dapat membina semula kediaman mereka di kawasan tersebut.
“Saya sudah mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk membuat tapisan supaya semua warganegara ataupun penduduk asal di kampung itu disenaraikan.
“Tapisan itu dibuat bagi memastikan mereka yang layak sahaja dapat membina semula rumah di tapak kebakaran tersebut,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata demikian semasa ditemui dalam majlis penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran, di sini pada Khamis.
Terdahulu, syarikat Armada Maritime Services Sdn Bhd turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 yang disalurkan melalui ADUN Apas untuk disampaikan kepada mangsa kebakaran.
Nizam berkata, sekiranya cadangan itu diluluskan, tapak berkenaan akan dibahagikan kepada lot-lot supaya pembinaannya nanti tidak terlalu rapat.
“Saya pasti kepimpinan yang ada sekarang adalah kerajaan yang prihatin dan sudah tentu cadangan ini akan dipertimbangkan demi memberi kebaikan kepada semua rakyat.
“Buat masa ini, saya juga sedang berusaha membina kembali tiga jambatan yang musnah supaya memudahkan pergerakan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya juga berharap kerajaan akan berusaha membina lebih banyak program perumahan rakyat (PPR) supaya penduduk di daerah ini dapat menikmati penempatan yang selesa.
“Pembinaan PPR dapat membantu rakyat yang masih tidak mempunyai rumah, sekali gus menyifarkan kawasan setinggan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Armada Maritime Services Sdn Bhd, Kapten Damian Chan Hann Yung berkata bantuan yang disalurkan itu adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi membantu mangsa kebakaran.
Katanya, sebelum itu, pihaknya sudah membuat pemantauan berkenaan keperluan mangsa dan mendapati bantuan yang diperlukan berbeza dari semasa ke semasa.
“Bagi memastikan sumbangan diberikan itu bersesuaian dan mengelak pembaziran, kami membuat keputusan untuk memberikan bantuan dalam bentuk wang tunai melalui pihak ADUN Apas,” katanya.