Adun Amanah Muhammad Faiz Fadzil nafi tuduhan cabul seorang wanita

Astro Awani
Mac 23, 2021 16:07 MYT
Muhammad Faiz menjelaskan, buat masa ini beliau akan meneruskan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti biasa. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Amanah Negara (Amanah) Muhammad Faiz Fadzil menafikan tuduhan mencabul seorang wanita.
Dalam satu kenyataan media, Adun Permatang Pasir itu menjelaskan beliau sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.
“Saya mengesahkan telah dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan satu laporan polis ke atas saya. Saya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan akan terus memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan.
“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut. Butiran pembelaan saya tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan.
“Saya juga sedang berbincang dengan pasukan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi membersihkan nama saya,” katanya.
Muhammad Faiz menjelaskan, buat masa ini beliau akan meneruskan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti biasa.
Sebelum ini media melaporkan polis sedang menyiasat seorang Adun dari sebuah negeri di utara Semenanjung atas tuduhan mencabul seorang pembantu kedai yang juga ahli partinya dua minggu lalu.
#Faiz Fadzil #polis #Siasat #cabul #nafi #wanita #ADUN Amanah
;