Aduh, sehari suntuk di KLIA gara-gara gangguan sistem
Dr Azlinariah Abdullah
Ogos 23, 2019 16:33 MYT
Ogos 23, 2019 16:33 MYT
Dua petugas Astro AWANI, Editor Dr Azlinariah Abdullah dan jurukamera Sallehin Hussain yang sepatutnya berlepas ke Hanoi, Vietnam pada pagi Jumaat terpaksa berkampung sehari suntuk di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, disebabkan masalah gangguan sistem di lapangan terbang antarabangsa itu sejak semalam.
Waktu penerbangan mereka yang sepatutnya 9:40 pagi dengan MH 0752 itu dijadual sebanyak tiga kali, iaitu pada 4:40 petang kemudiannya 6:10 petang dan terbaharu ditukar kepada 7:10 petang.
Sehingga laporan ini ditulis, belum dapat dipastikan jika penerbangan pada 7:10 petang itu akan dijadualkan semula atau sebaliknya.
"Masalah penjadualan semula waktu penerbangan ini berlaku adalah disebabkan masalah sistem yang masih belum pulih sepenuhnya. Hari ini semuanya dilakukan secara manual, sama ada waktu penerbangan, pintu masuk dan maklumat-maklumat lain yang dirasakan perlu diberitahu kepada penumpang,'' kata petugas Malaysia Airlines System yang ditemui di KLIA.
Menurut petugas itu, pihak pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata pasukan mereka masih berusaha untuk menstabilkan sistem itu sejak 6 pagi tadi lagi.
Berdasarkan pengalaman sejak 7 pagi tadi setiba di KLIA, suasana amat sesak dengan para penumpang beratur panjang untuk memastikan urusan mereka berjalan lancar.
Bagaimanapun sekumpulan petugas MAS yang berada di kaunter-kaunter daftar masuk untuk menawarkan bantuan kepada kesemua penumpang sepanjang hari ini.
Gangguan sistem sejak Khamis itu menjejaskan beberapa sistem lapangan terbang seperti sambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter-kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS).
Malah, ia turut mengakibatkan kelewatan beberapa penerbangan dan masih berlaku di KLIA apabila pengumuman dibuat dari masa ke masa mengenai masalah gangguan sistem berkenaan.