Aduan pengguna berhubung kenaikan harga barang tidak akan diabai - Ahmad Bashah
Bernama
November 22, 2015 08:07 MYT
November 22, 2015 08:07 MYT
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak akan mengabaikan sebarang aduan orang ramai berhubung kenaikan harga barangan keperluan, terutama ketika musim tengkujuh.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata tindakan akan segera diambil tetapi aduan yang dikemuka mesti spesifik.
"Sekiranya ada aduan-aduan yang kita terima (berhubung kenaikan harga barangan keperluan), kita akan menggerakkan penguat kuasa kita untuk turun ke lapangan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan AEON Mall Ipoh Klebang di sini Sabtu.
Beliau berkata KPDNKK sentiasa melakukan pemantauan berhubung isu kenaikan harga barangan keperluan meskipun tiada aduan diterima.
Ahmad Bashah juga berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pasar raya di negara ini bagi memastikan pengguna dapat membeli barangan dengan harga yang agak berpatutan dan kadang-kadang lebih rendah daripada di tempat lain.
"Kita mendapat sokongan dan kerjasama dalam program-program yang dianjurkan oleh kementerian, pelbagai kempen yang kita buat dibantu oleh peniaga-peniaga ataupun pasar raya sama ada besar ataupun kecil," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan AEON Co (M) Bhd Nur Qamarina Chew Abdullah berkata pusat beli-belah bernilai RM66 juta yang dirasmikan hari ini merupakan cawangan AEON Mall yang ke-24 di Malaysia dan kelima di Perak.
"Di AEON Mall Ipoh Klebang, kami menyediakan kawasan pendidikan hutan yang terletak di dalam kawasan pusat beli-belah dengan kerjasama Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).
"Bagi memastikan keselesaan pengunjung, kami masih mengekalkan kelebihan AEON iaitu menyediakan kemudahan penting serta konsep baharu seperti Dewan AEON seluas 4,030 kaki yang boleh disewa untuk kegunaan umum, pusat menyimpan troli dan tempat makan khas kanak-kanak selain tayangan wayang percuma untuk pelanggan pada waktu malam pada hari biasa dan sepanjang hari pada hujung minggu," katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada tiga kampung terpilih iaitu Kampung Sempeneh, Kampung Batu 20 dan Kampung Rantau Panjang.