Aduan mengenai GST melalui WhatsApp diambil tindakan - Exco Terengganu

Bernama
Oktober 5, 2015 10:26 MYT
Kerajaan Terengganu serius dalam membantu melancarkan lagi urusan perniagaan dalam kalangan peniaga, dan pada masa sama tidak mahu perkara itu membebankan pengguna.
Bagi melancarkan lagi pemantauan harga barang dan pelbagai urusan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kerajaan Terengganu membuat penambahbaikan dalam menangani aduan yang diterima daripada orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga bersedia memberi maklum balas segera terhadap aduan oleh pengguna walaupun ia hanya dilaporkan melalui laman sosial termasuk aplikasi WhatsApp.
"Ini satu lagi pembaharuan dilakukan, dan kerajaan negeri sangat mengambil berat tentang aduan rakyat mengenai perkara ini....sebab itu kita mahu KPDNKK juga menyiasat aduan yang dilaporkan melalui aplikasi itu.
"Aduan awal, walaupun secara tidak rasmi pun perlu diambil tindakan seterusnya. Jika terbukti aduan itu benar, tindakan susulan perlu dilakukan dan kali ini perlu dilakukan mengikut prosedur rasmi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival @MyMasjid di Kerteh 5, di sini hari ini.
Roslee berkata kerajaan negeri serius untuk membantu melancarkan lagi urusan perniagaan dalam kalangan peniaga, dan pada masa sama tidak mahu perkara itu membebankan pengguna.
"Sebab itu, kerajaan sentiasa menasihatkan dan memberi tunjuk ajar kepada peniaga di tempoh awal ketika GST dilaksanakan kerana kita faham beberapa kekeliruan yang timbul berikutan pelaksanaan cukai itu.
"Namun, masa yang diberi sudah lama dan ketika ini petugas KPDNKK Terengganu sentiasa turun padang untuk menyiasat semua aduan berasas yang diterima secepat mungkin untuk tindakan susulan," katanya.
Justeru, beliau meminta rakyat memainkan peranan sebagai pengguna yang bijak dan kerjasama antara mereka dan kerajaan negeri akan menjadikan semua urusan ekonomi berjalan lancar.
#cukai #cukai barangan dan perkhidmatan #GST #terengganu #WhatsApp
;