Aduan di USJ13: Busuk bukan berpunca daripada kucing saya - Pemilik rumah
Hilal Azmi
Oktober 11, 2016 09:05 MYT
Oktober 11, 2016 09:05 MYT
SEORANG pemilik kediaman di USJ13, Subang Jaya, Selangor menafikan masalah bau busuk seperti yang dirungut oleh jiran-jiran berpunca daripada rumahnya yang turut menempatkan hampir 30 ekor kucing peliharaan.
Hanya mahu dikenali sebagai Azhar, dia kini menggajikan seorang penjaga untuk memastikan kesemua kucing yang dipelihara dalam rumahnya terjaga daripada segi makan, minum dan kesihatan.
"Kami tak kejam, setiap hari penjaga akan datang dua kali sehari untuk beri makan dan bersihkan rumah berkenaan.
"Kalau ada dakwaan yang mengatakan kucing itu tidak dijaga dengan baik, itu satu tuduhan palsu," katanya kepada Astro AWANI.
Beliau turut mengakui, kini dalam proses mengeluarkan kesemua kucing tersebut tetapi memerlukan tempoh sehingga dua bulan bagi menyelesaikannya.
"Kalau nak ikut mudah, memang satu hari saja boleh saya selesaikan kucing-kucing ini dengan cara tinggalkan 'mereka' di tepi jalan.
"Tapi saya ni ada perikemanusiaan. Kucing pun ada perasaan.
"Jadi, saya akan panggil kawan-kawan dan orang yang mahu pelihara kucing untuk datang dan pilih sendiri kucing yang mereka mahu tanpa bayaran.
"Proses ni bukan satu proses mudah tetapi memang ambil masa," jelasnya lagi.
Sementara itu, menurut Timbalan Pengarah (Korporat) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Muhammad Azli Miswan, pihaknya telah membuat tinjauan sendiri ke rumah berkenaan.
"Bila saya tengok sana, kucing-kucing tu bukan kucing yang comot dan kotor.
"Memang kucing-kucing tu bersih, saya tengok makanan pun banyak siap ada air lagi," katanya.
Jelas Muhammad Azli, terdapat juga banyak kucing luar yang masuk ke pekarangan rumah berkenaan selepas tertarik dengan kucing yang tinggal dalam rumah berkenaan.
Beliau turut memberitahu pihaknya akan membuat pertemuan dengan pemilik rumah berkenaan bagi menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat.