ADMM gagal capai kata sepakat

Tan Su Lin
November 4, 2015 18:40 MYT
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan) bersalaman dengan Menteri Pertahanan China, Chang Wanquan pada Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus hari ini. - Gambar Bernama
Mesyuarat Pemukiman Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM) hari ini gagal mencapai kata sepakat untuk pemeteraian Deklarasi Bersama Kuala Lumpur.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata ia bukanlah perkara yang luar biasa berikutan beberapa isu yang tidak dipersetujui kalangan Menteri Pertahanan negara anggota.
"Kami tidak dapat menandatangani deklarasi itu kerana gagal membentuk konsensus. Tetapi tidak apa kerana kita masih mempunyai saluran-saluran lain," kata Hishammuddin.
"Sidang Kemuncak ASEAN akan berlangsung pada 21 November dan pada 22 November ASEAN dan New Zealand akan meraikan ulang tahun ke-40 hubungan serantau. Saya percaya banyak lagi saluran yang dapat memberi peluang pemimpin-pemimpin negara berbincang dalam masa terdekat," katanya pada sidang media Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM Plus) di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan isu yang tidak dipersetujui di kalangan Menteri Pertahanan ASEAN berkenaan.
Mesyuarat ADMM ketiga itu antara lain membincangkan isu-isu berhubung pertahanan dan keselamatan serantau termasuk isu keselamatan maritim di Laut China Selatan.
#ADMM #ASEAN #Hishammuddin Hussein #Mesyuarat Pemukiman Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus
;