'Adinda' belum jawab warkah 'kekanda'

Madiha Abdullah
Disember 27, 2018 08:10 MYT
Ramai yang memuji cara Nurul Izzah yang profesional dan tidak terkesan dengan kewujudan warkah itu.
SUDAH lebih 24 jam, 'Warkah Dari Cordoba' untuk Nurul Izzah Anwar belum berjawab.
Warkah sepanjang 25 perenggan itu ditulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ketika dalam perjalanan dari Cordoba ke Madrid, dan dimuat naik ke akaun Facebooknya.
Isi kandungannya adalah berkenaan keputusan Nurul Izzah mengundur diri dari jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan melepaskan jawatan Pengerusi PKR Pulau Pinang, baru-baru ini.
Namun apa yang menarik perhatian ramai tentang warkah itu adalah penggunaan ganti nama dari bahasa Melayu klasik, iaitu kekanda dan adinda.
Carian di akaun Facebook rasmi Nurul Izzah mendapati, entri paling terbaharu dimuat naik 17 jam lalu, dan ia adalah berkenaan lawatan ke tapak pertanian bersama Jabatan Pertanian di Mengkuang Semarak.
Dalam entri itu juga, Nurul Izzah berjanji akan mengusahakan ladang organik untuk penduduk Permatang Pauh.
Di ruangan komen, ada netizen meminta agar ikon politik yang digelar Puteri Reformasi itu segera menjawab warkah tersebut.
"Balaslah warkah Dr Mujahid tu, kasihan dia taip penat tapi YB Nurul Izzah tak jawab," tulis Hari Zamzi.
Dalam masa yang sama, ramai juga yang memuji cara Nurul Izzah yang profesional dan tidak terkesan dengan kewujudan warkah berkenaan.
"Izzah, awak buat tak tahu je pasal surat dinda kanda tu. Fokus sekarang kerja untuk rakyat," tulis Mu Fir pula.
"Tahniah YB. Teruskan berkhidmat untuk rakyat. Teruskan fikir bagaimana nak bantu rakyat. InsyaAllah dengan khidmat yang ikhlas rakyat akan kenang YB sampai bila-bila," tulis Firdaus Mohd. Ibrahim.
#adinda #Cordoba #Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa #Facebook #kekanda #Nurul Izzah Anwar #Permatang Pauh #PKR #politik #warkah
;