Adik Raisya sudah tiada
Sinar Harian
Februari 10, 2023 19:03 MYT
Februari 10, 2023 19:03 MYT
KUALA NERUS: Kanak-kanak perempuan yang menderita kanser saraf tahap empat, Nik Raisya Aulia Nik Rashimie Bukhari, 5, meninggal dunia pada Khamis.
Arwah yang menghidap kanser sejak tiga tahun lalu menghembuskan nafas terakhir pada jam 3 petang di pangkuan ibunya, Roslinda Harun, 31, di rumah mereka di Kampung Serdang Baru, Bukit Tunggal, di sini.
Menurut Roslinda, walaupun sedih namun dia sekeluarga redha dengan pemergian Nik Raisya Aulia kerana sudah lama anak sulung dari tiga beradik itu menanggung derita kesakitan.
“Sebelum dia pergi, buat pertama kali sebelum subuh dia bangun panggil saya minta air. Dia juga cakap tak mahu Umi tinggalkan dia sendirian.
“Semalam sepatutnya ada majlis bacaan Yasin buat arwah di rumah namun apakan daya, Raisya terlebih dahulu meninggalkan kami,” katanya di sini pada Jumaat.
Jenazah Nik Raisya Aulia selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tunggal pada jam 6 petang.
Kisah penderitaan Nik Raisya Aulia pernah disiarkan Sinar Harian pada 3 Februari selepas kesihatan kanak-kanak itu semakin merosot.
Kanak-kanak itu telah menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selama enam bulan ketika usianya memasuki tiga tahun.
Arwah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam perut pada 7 April 2021 namun kanser yang dialami Nik Raisya Aulia kembali menyerang pada Ogos tahun lalu apabila dia sering mengadu sakit pada bahagian perut.
Selain ketumbuhan dalam perut, arwah turut menderita ketumbuhan pada bahagian mata, kepala dan dada. -- Sinar Harian