Adik Raef Uqael perlu jalani pembedahan pemindahan hati dengan kadar segera

Norsiah Mohd Ramli
Februari 24, 2015 10:33 MYT
RM300 ribu diperlukan bagi pembedahan adik Raef Uqael Mohd Rosli yang mengidap penyakit Biliary Atresia atau kegagalan hati berfungsi peringkat akhir.
Raef Uqael lincah seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya namun tiada siapa dapat meneka penderitaan perit yang dialaminya sejak empat tahun lalu.
Berusia empat tahun, Raef menghidapi penyakit biliary artesia iaitu satu penyakit kegagalan hati berfungsi peringkat akhir.
Dia perlu menjalani pembedahan pemindahan hati dengan kadar segera namun ada satu perkara yang menyukarkan pembedahan itu untuk dilakukan -- keluarga Raef tidak mampu menanggung kos pembedahan Raef.
Ayah Raef, Mohd Rosli Abdul Rani dan isterinya bekerja di sebuah warung milik keluarga.
Mohd Rosli berkata dia tidak mampu menanggung kos pembedahan tersebut yang memakan belanja RM300,000 dan pendapatan mereka sekadar cukup-cukup sahaja bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Sejumlah RM300 ribu diperlukan bagi pembedahan adik Raef Uqael Mohd Rosli yang menghidap penyakit ‘Biliary Atresia’ atau kegagalan hati berfungsi peringkat akhir.
Sejak diberitahu doktor mengenai pemindahan hati segera yang perlu dilakukan ke atas Raef, mereka sekeluarga mula mencari dana bagi pembedahan tersebut.
Setakat ini, dana yang terkumpul bagi pembedahan berjumlah RM8,000 dan RM292,000 lagi diperlukan.
Kini, keadaan Raef stabil namun ia tidak akan berterusan dan bila-bila masa sahaja keadaan kanak-kanak ini boleh menjadi sangat lemah.
Sebelum ini, Raef terpaksa berdepan dengan kesakitan seperti kegatalan yang serius, bengkak badan, berak darah dan muntah darah dan masih berdepan dengan masalah tersebut walaupun tidak kritikal.
Jika dana untuk pembedahan Raef berjaya dikumpul, mereka sekeluarga akan ke China bagi meneruskan pembedahan pemindahan hati buat kanak-kanak itu.
Menurut ibu Raef, Noraini Jaafar, dia, suami dan anak saudara mereka bersedia menderma hati mereka sekiranya ia bersesuaian dengan Raef.
Jika anda ingin menghulurkan bantuan kewangan kepada adik Raef, anda boleh meyalurkan wang menerusi nombor akaun Maybank milik ayah Raef, Mohd Rosli Abdul Rani iaitu 562384518559 atau hubungi 017-6688550.
#Raef Uqael