Adik pulang ambil kucing pecah gegendang telinga ditampar abang
Dewi Nur Harasha Alias
Mac 9, 2020 17:10 MYT
Mac 9, 2020 17:10 MYT
Seorang wanita berusia 21 tahun pecah kedua-dua gegendang telinganya selepas ditampar abang kandung dalam pertengkaran di sebuah pangsapuri di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 29 tahun juga dipercayai bertindak mengacukan kapak dan golok untuk menghalau mangsa keluar dari rumah mereka.
Noorzainy berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa dikatakan pulang ke rumah berkenaan bersama seorang rakan untuk mengambil kucingnya.
“Bagaimanapun, suspek dipercayai tidak senang dengan kehadiran mangsa dan mengeluarkan kapak dan golok.
“Mangsa kemudian keluar dari rumah itu kerana tidak mahu bergaduh dengan abangnya, namun suspek masih tidak berpuas hati dan mengekorinya sehingga sampai ke kawasan parkir motosikal di bawah pangsapuri itu.
“Kemudian berlaku pertengkaran mulut di antara kedua-dua mereka sebelum suspek bertindak menampar muka mangsa beberapa kali,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Noorzainy berkata, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas dan kedua-dua gegendang telinganya disahkan pecah.
Beliau berkata, siasatan mendapati, mangsa dan suspek mempunyai masalah keluarga sejak beberapa tahun lalu dan ia dipercayai menjadi punca pertengkaran mereka.
Katanya, polis menahan suspek pada jam 7.30 petang hari sama dan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah, namun mempunyai tujuh rekod lampau termasuk membabitkan kesalahan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
#ditampar abang kandung
#gegendang telinga
#kapak dan golok
#kucing
#Noorzainy Mohd Noor
#Seberang Perai
#tampar
#wanita