Adik perempuan mangsa amuk di bank masih terkejut
Bernama
April 18, 2015 21:24 MYT
April 18, 2015 21:24 MYT
Sudah lebih 12 jam telah berlalu, namun Ho Pei Xia, 25, adik perempuan pengawai bank yang terbunuh dalam kejadian amuk di Taman Molek di sini semalam, masih terkejut dan enggan menerima kenyataan bahawa abangnya telah pergi selama-lamanya.
Dalam akaun Facebook bernama 'Eupraxia Ho', bekas graduan Kolej Inti Subang Jaya itu menyifatkan abangnya, Ho Chin Tau, 33, sebagai insan yang terbaik dan menjadi kebanggaan keluarganya selama ini.
"Saya masih tidak dapat menerima bahawa saya telah kehilangan seorang abang yang dibangga-banggakan selama ini.
"Kenapa mesti awak, kenapa?" tulis gadis berasal dari Tawau, Sabah itu.
Mungkin kerana tidak dapat menahan rasa sedih, Pei Xia juga berkongsi sekeping gambar dalam Facebook yang menunjukkan abangnya memegang sekeping kek hari jadi manakala dia pula memeluk mesra bahu abangnya itu.
Seorang rakan Pei Xia dikenali sebagai Ming Lee Chong berkata gambar yang dimuatnaikkan itu hampir membuatkannya menangis.
"Luluh hati melihat gambar ini," katanya.
Sementara itu, menerusi tinjauan rawak, Bernama menemui beberapa akaun Facebook milik rakan mendiang turut mengucapkan salam takziah kepada keluarga Pei Xia.
Salah seorangnya, Allen Liew berkata sukar untuk dia dan rakan menerima kenyataan mendiang sudah tiada kerana dua bulan lepas, mereka baru sahaja gembira bermain bola tampar bersama-sama.
"Selepas 15 tahun, saya gembira kerana dapat bermian bola tampar dua bulan lepas dan ini semua membawa kenangan manis sewaktu di sekolah menengah.
"Anda sentiasa dalam ingatan saya. Sudah pasti akan berjumpa di tempat yang lebih baik. Semoga anda tenang, teman tersayang," titipnya dalam status yang dimuat naik 16 jam yang lepas.
Terdahulu, abang ipar mendiang, Tan Ka Ching, 36, berkata Chin Tau tidak menyedari suspek yang menikamnya menyusup masuk ke ruang pejabatnya sewaktu kejadian berlaku.
"Saya diberitahu rakan-rakan sekerjanya, Chin Tau duduk membelakangi pintu masuk (pejabat). Kemudian, suspek datang secara tiba-tiba membawa pisau menikam adik ipar saya," katanya yang ditemui Bernama di bilik mayat Hospital Sultan Ismail di sini, hari ini.
Tan berkata mendiang disenangi kerana sikapnya yang baik dan tidak mudah marah dan telah bekerja di bank tersebut selama tiga tahun.
"Tugas Chin Tau adalah mengurus simpanan premium pelanggan dan di bahagian itu, hanya ada tiga pengawai sahaja. Bagaimanapun, semasa kejadian, seorang pegawai telah keluar dan seorang lagi bersama Chin Tau di pejabat," katanya.
Tan berkata mayat mendiang akan dibakar pada Selasa ini di Taman Peringatan Nirvana, Kulai.