Adik mangsa kemalangan DUKE mahu jumpa admin kelab kereta Myvi

Azyyati Ahmad
Mei 3, 2015 11:24 MYT
Faizz kini mengambil alih tanggungjawab menjaga kedua-dua anak arwah abangnya - Foto Facebook
Adik bongsu Allahyarham Fairuz Nizam Husain yang maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 Lebuhraya DUKE pada awal pagi Sabtu memohon agar ahli Kelab Kereta Myvi yang berkenaan datang bertemu dengannya.
Muhammad Faizznur Asyraf Husain, 25, memuat naik pesanan berkenaan di dalam laman Facebooknya pada Sabtu meminta supaya ahli jawatankuasa kelab tersebut menghubunginya demi membela nasib kedua-dua anak arwah abangnya.
“Saya mohon agar pihak yang terlibat, sila tampil kepada keluarga kami.
“Mereka masih kecil dan ditanggung sepenuh oleh arwah. Kini tanggungan bertukar tangan dan menjadi tanggungjawab saya. Mohon kepada Admin Club Myvi yang terlibat tampil untuk berunding dengan kami,” itu antara ayat yang ditulis oleh Faizznur di dalam laman sosialnya.
BACA: Enam pemandu berlumba atas DUKE, 3 maut termasuk bayi
WAWANCARA KHAS: Saksi terawal ceritakan detik cemas kemalangan DUKE
MEDIA SOSIAL: Netizen luah rasa berang
Fairuz, 35 dan isteri Nova Safitri Azhari, 25, serta bayi perempuan Nur Firuza Annisa, berusia tujuh bulan maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan pada 1.05 pagi.
Kereta Pajero yang dipandu Fairuz, yang berada di lorong tengah dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi, lalu terbabas ke sebelah kiri sebelum dilanggar sebuah lagi kereta Myvi yang berada di lorong kiri. Akibatnya, kereta Pajero itu berpusing beberapa kali dan menyebabkan mereka tercampak di atas jalan.
#DUKE #Fairuz Nizam #Faizz Nur #Kelab Myvi #lumba haram #Myvi
;